ARAU: Kesihatan mental pelajar universiti terjejas teruk jika mereka terlalu lama mengikuti pembelajaran secara dalam talian terutama ketika berdepan dengan lambakan projek, tugasan selain ujian-ujian yang dilaksanakan secara maya itu.
Malah, difahamkan purata pelajar universiti mengikuti pembelajaran secara dalam talian adalah lapan jam sehari, malah boleh berlarutan sehingga awal pagi khususnya bagi mereka yang perlu menyiapkan pelbagai tugasan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Abdul Khalim Al Azizi Syahril,23, berkata, masalah kesihatan mental serta tekanan pelajar perlu dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan atau pihak universiti sendiri.
Menurut beliau, pelajar khususnya membabitkan bidang kejuruteraan dan perubatan yang sebelum ini lebih kepada aktiviti di makmal lebih tertekan berbanding pelajar dalam jurusan lain.
“Aktiviti makmal itu digantikan dengan projek atau laporan yang dilaksanakan secara individu atau berkumpulan secara dalam talian. Laporan serta projek yang diberikan itu lebih banyak berbanding secara fizikal di makmal.
“Bagi sesetengah pelajar yang boleh menerima pembelajaran secara dalam talian, ia mungkin membantu meningkatkan prestasi dan ia juga boleh memberi kesan kepada prestasi sebahagian pelajar yang tidak biasa secara online ini.
“Antara lain yang boleh mengganggu fokus pelajar itu sendiri seperti masalah capaian internet lemah di kampung, masalah keluarga dan masalah kewangan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman berkata, pelajar universiti awam dinasihatkan tidak terus ‘hanyut’ apabila mengikuti pembelajaran dalam talian selain mengabaikan masa yang diberikan sehingga terpaksa menyiapkan tugasan saat akhir.
Menurut beliau, ini kerana, tugasan yang membebankan tidak sepatutnya timbul dalam kalangan pelajar universiti, sebaliknya pengurusan masa dan disiplin diri kerana mereka mendapat pendedahan pada awal semester.
Roseliza memberitahu, semua kursus ditawarkan di universiti mengikut prosedur kualiti dan proforma yang ditetapkan bagi memudahkan dan tidak membebankan pelajar yang mengikuti kursus berkenaan.
Katanya, semua perkara mempunyai perancangan dan budi bicara pelajar, tetapi, perkara membebankan terjadi sekiranya para pelajar tidak mengurus masa dan disiplin diri dengan baik.
“Sesuatu kursus pada awal semester perlu melalui kelulusan mesyuarat sama ada silibusnya, bentuk penilaian dan pentaksiran serta diberi pendedahan awal kepada para pelajar.
“Disiplin diri dan pengurusan masa perlu dipandang serius kerana setiap tugasan yang diberikan pensyarah itu tertakluk kepada kelulusan dan tidak boleh diberi sewenang-wenangnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, portal dan akhbar melaporkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) meninggal dunia kerana dikatakan mengalami sakit kepala sehingga mengakibatkan pendarahan dalam otak. – UTUSAN










