Pekerja E-Idaman mati kemalangan - Utusan Malaysia

Pekerja E-Idaman mati kemalangan

MAYAT Othman Yahya yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Seberang Terus, Kuala Kuala Muda, Sungai Petani semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pekerja syarikat konsesi pembersihan, Environment Idaman (E-Idaman) maut setelah motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah motosikal lain dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Seberang Terus, Kota Kuala Muda, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, penunggang motosikal, Othman Yahya, 59, dari Kampung Seberang Terus di sini meninggal dunia di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian kepala dalam kejadian pada pukul 9.30 malam.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Jenis Honda Wave dilanggar oleh seorang pelajar berusia 15 tahun menunggang motosikal Jenis Honda EX5.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggangi Othman dari arah Kota Kuala Muda menghala ke arah Seberang Terus dilanggar oleh pelajar terbabit yang datang dari arah bertentangan.

“Kejadian berlaku semasa mangsa hendak membelok motosikalnya ke simpang kanan jalan tersebut.

“Bagaimanapun, pelajar itu yang menunggang motosikal dengan laju dalam keadaan agak gelap terus melanggar mangsa,” katanya.

Tambahnya, pelajar yang tinggal di Kampung Padang Limau di sini pula mengalami cedera parah di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Sementara itu, katanya, mayat mangsa telah dibawa ke HSAH untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN