MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperoleh 225,000 dos vaksin Covid-19 untuk program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, vaksin berkenaan akan diberikan kepada penerimanya yang antaranya terdiri daripada Orang Asli, peneroka Felda, kampung tradisional, penjaja dan penduduk Program Perumahan Rakyat bermula 22 Julai ini.
Jelasnya, menerusi 225,000 dos berkenaan, sebanyak 2,500 dos akan diberikan sehari selama tiga bulan.
“MOVAK merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perpaduan Negara bagi membantu kehadiran penerima vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Lokasi MOVAK tertumpu di kampung tradisional terpencil, perkampungan Orang Asli, estet, pinggir bandar dan rancangan Felda terpilih di seluruh negara.
“Terdapat 25 unit bas yang telah diubahsuai mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan beroperasi sebagai Unik PPV Bergerak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Maran kepada pemberita sempena Program MOVAK di Kampung Pesagi hari ini.
Ismail berkata, program MOVAK di Maran adalah yang pertama di Pahang yang bermula 14 Julai hingga hari ini menggunakan lima unit bas sebagai PPV bergerak.
“Sejumlah 950 dos diterima penduduk di Kampung Kuala Wau, Kampung Orang Asli Merbau ,Kampung Serengkam dan Kampung Pesagi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pengusaha bas yang tidak beroperasi ketika pandemik Covid-19 digalak menyumbang bas milik mereka untuk dijadikan Unit PPV Bergerak.
“Kementerian mempunyai mekanisme membayar sewa sekali gus membantu pengusaha bas menampung pendapatan kerana tidak dapat beroperasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE










