ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar satu tan daun ketum di kedudukan 0.1 batu nautika dari muara Kuala Kerpan di sini pada Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, hasil maklumat risikan, satu serbuan ke lokasi berkenaan dilakukan selepas mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan pada pukul 1.30 pagi.
Katanya, suspek yang disyaki nelayan itu bertindak menukar arah dan memecut laju menuju ke persisiran pantai berdekatan bagi melarikan diri dan meninggalkan bot serta muatan.
“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui 100 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan satu tan dan bernilai sekitar RM180,000.
“Hasil rampasan, bot fiber dan enjin dianggar bernilai RM235,000 turut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Kedah di sini hari ini.
Mohd. Zawawi berkata, penyeludup cuba menyeludup keluar daun ketum ke Thailand melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa di sana mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sekilogram.
“Penyeludup cuba mengambil keuntungan mencecah ribuan ringgit dengan jalan mudah walaupun mereka maklum tindakan tegas akan diambil jika mereka tertangkap,”ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi daripada RM 10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN










