Legoland sunyi tanpa pengunjung - Utusan Malaysia

Legoland sunyi tanpa pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sejak 7 Mei lalu, genap 80 hari Legoland Malaysia Resort di Bandar Medini Iskandar Malaysia, sekali lagi terpaksa ditutup bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ekoran kes aktif Covid-19 kembali menghantui masyarakat di seluruh negara.

Sebagai taman tema yang sering menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu atau cuti umum, Legoland Malaysia Resort yang menampilkan segmen utama seperti taman tema itu sendiri, taman air, akuarium sea life dan hotel turut terjejas teruk.

Melewati kawasan yang merupakan ikon pelancongan negeri itu baru-baru ini, tidak kedengaran hiruk-pikuk apatah lagi gelak tawa kanak-kanak bermain air atau menyertai permainan interaktif kecuali suasana sunyi dan tidak sibuk dengan aliran kenderaan seperti kebiasaan pada hujung minggu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resort, C. S. Lim mengakui, seperti kebanyakan taman-taman tema dan syarikat lain di seluruh negara, mereka tidak menyangka berdepan ujian dianggap paling berat itu sejak beroperasi mulai 2012.

Katanya, cabaran itu bukan sahaja akibat taman tema itu tidak dapat menerima kehadiran pengunjung tetapi pada masa sama perlu memastikan kesemua peralatan termasuk kira-kira 13,000 hidupan marin daripada 120 spesies terus dipelihara baik di Sea Life Malaysia.

“Keadaan ini memberikan cabaran yang amat berat apabila kita tidak dapat menjana pendapatan, bukan sahaja di Legoland Malaysia Resort tetapi lokasi-lokasi pelancongan lain turut menerima tempias yang sama.

“Bagaimanapun kita sentiasa akur dan komited dengan perancangan kerajaan yang berusaha gigih mengatasi pandemik Covid-19 yang dijangka dapat diakhiri tidak lama lagi melalui proses vaksinasi menyeluruh,” katanya.

Lim berkata, mereka percaya jenama kukuh Legoland Malaysia Resort dapat bangkit menghiburkan semula seisi keluarga yang berkunjung ke taman tema itu setelah dibenarkan beroperasi kembali kelak.

Sebagai persediaan, beliau memberitahu, kerja-kerja penyelenggaraan tetap dilakukan mengikut jadual meskipun tidak dikunjungi orang ramai memandangkan mereka perlu bersedia pada bila-bila masa untuk dibuka semula.

“Memang sukar tatkala tidak dapat beroperasi tetapi kita perlu memastikan semua peralatan, fasiliti berada dalam keadaan baik. Malah, air dalam akuarium juga mesti dipantau selain hidupan-hidupan akuatik diberi makan mengikut masa.

“Di samping jualan-jualan permainan lego melalui dalam talian, sokongan pemegang taruh yang terus berkeyakinan terhadap jenama legoland membantu Legoland Malaysia Resort untuk terus bertahan, malah melihat kepada respon daripada orang ramai di Facebook misalnya kami tidak sabar untuk memberikan perkhidmatan terbaik lagi selepas ini,” katanya.

Selain itu, tambah Lim, bantuan-bantuan berterusan kerajaan kepada pemain industri termasuk Program Subsidi Upah (PSU), diskaun utiliti dan penangguhan cukai-cukai tertentu sedikit sebanyak melegakan mereka yang langsung tidak mengambil langkah pengurangan kakitangan setakat ini.

Bagaimanapun, seperti rakyat Malaysia lain, Lim berharap bantuan daripada kerajaan itu dapat diteruskan sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan lagi walaupun proses vaksinasi  berjaya 100 peratus atau mencapai imuniti kelompok kelak.

“Ini kerana, sektor pelancongan umpamanya tidak dapat terus berlari ketika kami mahu bangkit sekali lagi nanti. Sudah tentu kami perlu merangkak dahulu secara perlahan-lahan sebelum keadaan keseluruhan meliputi rakyat dan ekonomi pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang pernah berkunjung ke Legoland Resort Malaysia terus mengharapkan agar taman tema itu kekal bertahan mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang masih belum berkesudahan sehingga kini.

Menjenguk ke halaman rasmi Facebook Legoland Malaysia, rata-rata mereka memberi kata-kata semangat kerana taman tema tersebut bukan sahaja dianggap tempat untuk berseronok bersama keluarga tetapi memberi manfaat kepada kanak-kanak.

Seorang pengunjung yang memegang pas tahunan taman tema itu, Dyana Anaz berkata, mereka terus menyokong Legoland agar terus bertahan ketika meninggalkan komen di hantaran mengenai pengumuman penutupan sementara tempat berkenaan.

“Kesian Legoland. Harap bertahan ya…kami rakyat Johor dan pemegang pas tahunan Legoland akan sentiasa menyokong anda,” tulisnya.

Carol Mei Mei Lim pula menulis, ‘Jaga diri, kekal selamat Legoland Malaysia. Kami tidak sabar menunggu sempadan dibuka semula supaya kami dapat kembali menggunakan pas tahunan yang telah dilanjutkan’.

Malah, tidak kurang ada juga yang memuji tindakan pihak pengurusan Legoland Resort Malaysia yang melanjutkan tempoh penggunaan pas tahunan memandangkan mereka hanya sempat beberapa kali berkunjung ke taman tema itu sebelum berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya