Israel bedil Gaza bertubi-tubi selepas arahan pemindahan  - Utusan Malaysia

Israel bedil Gaza bertubi-tubi selepas arahan pemindahan 

ORANG ramai mengusung mayat rakyat Palestin yang dilaporkan terbunuh dalam pengeboman Israel di barat Jabalia, utara Gaza, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel meningkatkan serangan ketenteraannya di Gaza pada Isnin dengan arahan pemindahan baharu memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri dari utara wilayah yang sudah musnah.

Serangan udara berterusan oleh rejim Zionis itu juga telah mengorbankan kira-kira 60 rakyat Palestin, menurut pegawai tempatan dan kakitangan perubatan.

Keganasan terbaharu itu berlaku ketika penasihat kanan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadual tiba di Washington bagi membincangkan rundingan gencatan senjata baharu, sehari selepas Donald Trump melalui hantaran di media sosial menyeru satu perjanjian dicapai bagi menamatkan perang 20 bulan dan membebaskan 50 tebusan yang masih ditahan Hamas.

Ron Dermer, Menteri Hal Ehwal Strategik Israel yang juga orang kepercayaan Netanyahu dijangka mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) untuk membincangkan rundingan tidak langsung dengan Hamas, kesan peperangan Israel-Iran serta potensi kerjasama diplomatik serantau.

Jurucakap kerajaan Israel memberitahu media bahawa Netanyahu sedang berusaha menamatkan perang di Gaza secepat mungkin menerusi pembebasan tebusan di mana lebih separuh daripadanya dipercayai telah terbunuh serta kekalahan Hamas.

Seorang pegawai AS turut memaklumkan Netanyahu dijangka bertemu Trump di AS pada 7 Julai ini.

Arahan pemindahan terbaharu itu memberi amaran mengenai serangan besar-besaran di sekitar bandar Gaza yang padat penduduk, mengarahkan orang awam berpindah ke kawasan pantai di selatan yang sudah sesak dan kekurangan kemudahan asas termasuk air.

Kini, kira-kira 80 peratus wilayah Gaza telah diliputi arahan pemindahan atau berada di bawah kawalan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Arahan tersebut turut menyatakan bahawa IDF akan mara ke tengah bandar Gaza untuk menentang pejuang Hamas yang dipercayai beroperasi di kawasan itu.

Pada Isnin, kereta kebal dan infantri Israel menceroboh kawasan Zeitoun di pinggir timur Bandar Gaza dan mengebom beberapa kawasan di utara manakala pesawat perang menggempur sekurang-kurangnya empat sekolah selepas mengarahkan ratusan keluarga yang berlindung di dalamnya supaya keluar, menurut penduduk tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×