GOIANIA, Brazil: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengingatkan anak-anak buahnya tidak memandang rendah terhadap Ecuador apabila kedua-duanya bakal bertembung di suku akhir Copa America di Stadium Olimpik, Goiania, esok.
Jelas Scaloni, ini kerana skuad bimbingan Gustavo Alfaro mempamerkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, dengan mereka berjaya mengikat Brazil dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
“Pemain junior mereka antara yang akan memberi impak kepada bahagian serangan dan tengah pada perlawanan ini sekiranya Argentina mengambil sikap sambil lewa.
“Kami sentiasa menghormati Ecuador sebagai lawan. Mereka telah membuktikan bahawa mereka juga bagus dan semakin meningkat.
“Ecuador sebuah pasukan yang dinamik yang mana mereka sudah pasti akan memaksa kami mengerah keringat sehingga tamat masa permainan,” kata Scaloni.
Sejak tewas kepada Colombia dalam aksi pembukaan Copa America pada 14 Jun lalu, Ecuador mempamerkan peningkatan ketara dengan memperoleh keputusan seri apabila berdepan Venezuela dan Peru termasuk Brazil.
Tambah Scaloni, beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan peningkatan yang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang aksi peringkat kumpulan walaupun mendapat kritikan setelah bermula hambar berbanding penyandang juara Brazil.
“Tiga kemenangan, satu seri di peringkat kumpulan sebelum ini sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun mereka terpaksa bermain dalam keadaan padang yang menjejaskan momentum mereka,” katanya.










