Dugaan dan cabaran yang ditimpakan ke atas tanah air mutakhir ini amat getir. Kes Covid-19 ibarat lautan yang sekejap pasang, sekejap surut, kemudian pasang semula. Memburukkan keadaan, situasi politik pula semakin hari semakin melemaskan.
Apa tidaknya, dalam pada kerajaan sibuk menguruskan wabak, pencatur pula sibuk buat kerja belakang tabir mengumpul perjanjian itu dan ini.
Semuanya bertujuan menjatuhkan kerajaan dan menaikkan sosok yang dahulu dianggap musuh azali.
Soalnya, di mana nilai taat setia kepada perlembagaan dan suara keramat parti? Bukankah sudah terang lagi bersuluh, UMNO putuskan bahawa No Anwar, No DAP?
Cuba merungkai persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ, ROSHIHAN ANNUAR YUB dan dibantu jurukamera juga juruvideo MOHD. FIKRI FADZIL, menemu bual Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) yang juga Ahli Parlimen Arau, DATUK SERI DR. SHAHIDAN KASSIM pada Selasa lalu, di Kuala Lumpur.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana perkembangan terkini PN, dan sejauh mana gerak kerja sebagai Pengerusi PNBBC berjaya memperkasakan blok ini?
DR. SHAHIDAN KASSIM: Sebelum itu, suka saya memetik kata pujangga Elie Wiesel, kita ini haruslah berani mengambil pendirian dan memilih pihak. Bersifat neutral hanya akan membantu si penindas. Berdiam diri hanya akan menggalakkan penzalim untuk jadi semakin zalim, dan sikap itu langsung tidak akan membantu mangsa yang dizalimi.
Bercakap soal blok Perikatan Nasional (PN), kerajaan PN ini adalah blok majoriti dan kita telah menang dalam pengundian bajet tahun lepas. Insya-Allah kita dapat maklumat ada perkembangan yang mana tiga orang daripada pembangkang telah menyertai blok ini, jadi PNBBC sekarang bertambah.
Ada maksud yang mendalam tentang kata-kata Elie Wiesel itu?
Bolehlah kita semua renungkan. Jadi dalam soal komunikasi, pendekatan yang saya ambil adalah kita sesama PN sering berkomunikasi dengan cara berhemah, dengan semangat setia kawan yang tinggi. Kita berkomunikasi antara UMNO, Pas, Bersatu, GPS malah daripada Bebas, kita sering berkomunikasi.
MUSUH DALAM PARTI
Hubungan dengan UMNO sekarang, mengambil kira situasi politik semasa yang bergolak? Mungkin pergolakan itu mengundang musuh politik dari dalam?
Saya ambil pendekatan mudah, kerana saya tak bermusuh dengan orang. Itu sebab seringkali dilihat saya mudah berbaik dengan orang, kerana saya tak pernah bermusuh dengan orang, tetapi orang yang bermusuh dengan saya. Pertama, saya rasa bimbang, kenapa saya dimusuhi? Dan kadang-kadang bermusuh bukan bergaduh secara berdepan atau bertengkar, tidak. Tapi kadang-kadang cuma masukkan dalam tulisan, kata bergaduh dengan saya.
AKUAN BERSUMPAH
Berhubung isu akuan bersumpah (SD) baru-baru ini, berapa SD ahli Parlimen (MP) UMNO yang sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim?
SD ini adalah akuan bersumpah, jadi ia adalah akujanji sumpah dan ia bersifat rahsia. Jumlahnya kalau saya tahu pun, saya simpan untuk saya sahaja dan saya tak boleh dedahkan. Namun jumlah itu tentulah ada pada orang yang dihantar untuk SD itu, kalau dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, maka ada pada Agonglah. Saya tak boleh menyebut di sini walaupun secara kasarnya mungkin saya boleh mengetahui, tapi saya tak boleh sebut sebab ia bukan dihantar kepada saya. Jadi saya tak boleh mendedahkannya.
Kenapa segelintir dilihat beria-ia kumpul SD menyokong Anwar, sedangkan parti sebulat suara berpendirian No Anwar, No DAP?
Itulah persoalan yang saya tak faham, kenapa orang kanan parti melanggar keputusan parti, tapi tidak diambil tindakan atau tidak dipercakapkan, malah orang mempertahankan. Sedangkan melanggar keputusan parti itu adalah kesalahan, melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), walhal dalam PAU disebut menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya, No Anwar, No DAP. Jadi itu adalah keputusan PAU, dan saya ini tak pernah melanggar keputusan parti, saya ikut keputusan parti. Tapi kalau didapati ada orang yang mengumpul SD untuk menyokong Anwar, sesungguhnya saya tidak faham.

INI KERAJAAN KITA…
Komen mengenai UMNO yang selalu mengugut PN, sedangkan kerajaan sedang berhempas pulas uruskan pandemik?
Yang saya tidak faham adalah Presiden parti dalam ucapannya menyebut dengan terang bahawa sokong PN sehingga pilihan raya, No Anwar, No DAP. Tapi kita tengok, sudah ada sokongan dibuat kepada Anwar. Kemudian kerajaan PN ini sepatutnya kita tak perlu buat ugutan, tapi kita terus bekerjasama. Misalnya, kalau kita hendak buat persidangan Parlimen, datang bekerjasama, berbincanglah sebab ini kerajaan kita.
Apa maksud ‘kerajaan kita’, sedangkan segelintir dalam UMNO asyik hentam PN?
Ini orang UMNO kadang-kadang melihat PN ini bukan kerajaan kita, tapi hakikatnya PN ini kerajaan kita. Kalau UMNO sudah putuskan hari ini untuk keluar daripada kerajaan PN, walaupun PAU kata sokong sampai pilihan raya, kami ahli-ahli Parlimen, kita akan buat keputusan. Kita belum buat keputusan apa pun, jadi kenapa saya buat baik dengan PN dianggap salah?
Saya buat baik dengan Bersatu, salah. Saya buat baik dengan Pas, salah. Saya buat baik dengan GPS, salah. Padahal saya Pengerusi PNBBC, saya kena buat baik dengan semua. Kalau saya tak mahu buat baik, saya kena berhenti jadi Pengerusi.
Yang tak menyokong kerjasama UMNO-Bersatu ini, kebanyakan tiada jawatan dalam kerajaan PN, betulkah begitu?
Ini satu bentuk syak wasangka, kononnya mereka tak sokong sebab tak dapat jawatan dan sebagainya, jadi saya tak mahu komen.
Tapi saya mahu beritahu, hampir semua majoriti daripada ahli Parlimen backbencher memegang jawatan-jawatan yang dipertanggungjawabkan dan yang diamanahkan kepada mereka dalam GLC dan pelbagai lagi. Kita ada jawatan, saya di antara orang yang menggerakkan usaha ini untuk mereka dapat jawatan, jadi saya tahu. Boleh kata hampir semua, sebahagian besar dapat jawatan.
JUMPA KUMPULAN DEMI KUMPULAN
Datuk Seri ada sebut terdapat MP UMNO yang tandatangan SD disaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau boleh dedahkan identitinya?
Saya tak perlu dedah, sebab Datuk Seri Nazri Aziz sudah dedah, dia beritahu dia telah tandatangan SD itu di depan Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Najib, Anwar dan seorang orang kenamaan. Ini Datuk Seri Nazri sebut. Tentang seorang lagi MP yang saya tak boleh sebut nama, tapi telah dibuat pengakuan di depan beberapa ahli Parlimen, dan di depan Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung BN, dia buat pengakuan.
Saya tak mahu sebut nama sebab saya tiada hak berbuat demikian, kerana dia berada dalam kumpulan lain. Kami ahli Parlimen ini jumpa dengan Timbalan Presiden, kumpulan demi kumpulan. Jadi saya dengan kumpulan lain, dan saya dengar cerita dia sebut benda itu dalam kumpulannya, dan Datuk Seri Nazri menceritakan sendiri bahawa dia tandatangan SD, dan dia tahu berapa orang lagi yang tandatangan SD. Dan saya kata mereka telah melanggar keputusan parti dan boleh diambil tindakan disiplin. Tapi kita tahu tindakan disiplin tidak diambil, sebaliknya saya pula yang dihukum.

BERSYUKURLAH
Sewaktu PH perintah, UMNO sibuk nak jatuhkan. Apabila PH tumbang dan digantikan dengan PN, UMNO pun nak tumbangkannya. Apa semua ini?
Saya nak mengingatkan bahawa kita patut bersyukur, sebab saya nak beritahu dengan rendah diri, kita tahu bahawa UMNO kalah Pilihan Raya Umum 2018, dan waktu itu kami ahli Parlimen duduk dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan jadi pembangkang. Dan saya diuji Allah SWT, pada waktu itu dengan sedikit kesakitan, dan saya berkerusi roda waktu itu, namun saya terus bersuara untuk menjatuhkan kerajaan PH.
Dalam masa sama, kita membuat gerakan demi gerakan dan PH akhirnya jatuh kerana Bersatu keluar dari PH. Tapi masa itu, Bersatu tidak mampu keluar daripada PH kerana mereka hanya ada 13 kerusi, kalah satu di Tanjung Piai, tinggal 12.
Jadi 12 kerusi, kalau mereka keluar pun waktu itu, PH tidak jatuh. Tapi bila ada gerakan daripada 15 orang MP UMNO, 10 orang daripada PKR menyertai Bersatu, dan Bersatu tarik (sokongan) daripada PH, akhirnya PH jatuh. Tumbangnya kerajaan PH, kita naikkan kerajaan Bumiputera-Melayu-Islam yang terbesar. Ini sejarah Kabinet yang terbesar terdiri daripada Bumiputera-Melayu-Islam.
Tapi ada mengkritik, meskipun terbesar namun UMNO tak pegang jawatan penting?
Ya, sekarang ini kita kata yang terbesar pun tak guna sebab UMNO tidak pegang apa-apa jawatan penting. Padahal sekarang, orang yang paling banyak duduk dalam Kabinet ialah UMNO-BN, 21 kerusi. Bersatu kurang lagi, Pas cuma tiga orang menteri, GPS pun tiga. Jadi yang paling besar adalah UMNO. Ia adalah parti dominan dalam kerajaan PN. Jadi kalau tak kena di mana-mana, bukan kerajaan itu yang patut dipersalahkan, tapi kena tanya wakil UMNO lah.
LAPANG DADA TERIMA DAP, ANWAR
Tak bolehkah UMNO dan PN berlapang dada terima Anwar dan DAP? Apa masalah mereka sampai ditolak sebegini rupa?
Yang pertama sekali, bagi saya tentang DAP ini adalah ideologi mereka yang meletakkan Malaysia sama rata, sama rasa. Dia lupa apa pun perancangan mereka, mereka kena ikut Perlembagaan.
Dalam Perlembagaan menyebut bahawa ada perkataan hak istimewa orang Melayu, ada perkataan agama Islam, jadi kenapa hendak bincangkan hal sama rata, sama rasa seolah-olah macam idea sosialis-komunis? Sekiranya mereka sebut sama rata, sama rasa, ini soal Perlembagaan, dan kalau mereka hendak buat pun, kena tukar Perlembagaan.
Tapi ada mengkritik, apa beza DAP dengan MCA, mereka sama saja. Komen Datuk Seri?
Ini soal ideologi, MCA mereka ikut ideologi Perikatan dan juga Barisan Nasional (BN). Mereka menerima apa termaktub dalam Perlembagaan iaitu agama Islam, bahasa Melayu dan sebagainya. Jadi ini kita terima. Tapi dalam bentuk DAP ini, kita tidak terima. Bagaimanapun, DAP mungkin berubah sekarang ini.
Macam mana pula penolakan terhadap Anwar, sebab Tun Dr. Mahathir Mohamad sering menyebut di belakang Anwar ada kuasa-kuasa asing?
Yang Tun Dr. Mahathir selalu sebut itu, ia adalah hak beliau sebab beliau ada bukti. Tapi saya melihat Anwar, dia akan bersama DAP. Anwar sebenarnya kawan baik saya, tiada masalah. Para pemimpin DAP pun, ramai yang kawan baik saya. Tapi bila mahu adakan kerjasama politik antara parti, itu partilah yang kena buat keputusan, bukan saya.
Jadi kalau tanya kenapa tak mahu berbaik dengan Anwar dan DAP, parti saya yang kena buat keputusan. Kalau parti kata, DAP ini sudah baik, itu parti kena buat keputusanlah.
BENDERA PUTIH
Sampai bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan segala sekatan ekonomi perlu dibuat, sedangkan rakyat makin terhimpit hingga ada gerakan kibarkan bendera putih memohon bantuan?
Kalau kerajaan tak buat PKP, apa akan jadi kepada rakyat? Saya ingat hospital tak cukup. Wabak Covid-19 sekarang ini penyakit luar biasa yang Allah SWT turunkan kepada manusia, dan ia berlaku di seluruh dunia. PKP ini penting untuk menyelamatkan rakyat, dan pakar-pakar dalam kerajaan memikirkan bahawa itu yang terbaik. Tetapi penghidupan rakyat, kita terus beri pembelaan.
Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa ahli Parlimen akan diberi peruntukan setiap seorang RM300,000. Semua dapat, kerajaan mahupun pembangkang. Ini supaya bantuan makanan dapat disalurkan. Dan saya beritahu, di Perlis tiada kes bendera (putih) dan sebagainya.
Maksudnya kerajaan memang sudah buat yang terbaik untuk seimbangkan antara pengurusan wabak dengan kehidupan rakyat?
Kalau tak terbaik, cerita kepada kita apa yang tak baik. Sesetengah orang kata, kerajaan sekarang yang terburuk. Saya beri contoh ada seorang kawan saya dari Kedah, dia kata kerajaan ini terburuk. Sedangkan sekarang, ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan, tanyalah dia terburuk macam mana? Seramai 21 orang (ahli Parlimen) bukan sedikit.
Adakah lebih baik berbanding kerajaan terdahulu?
Dulu masa PH, dapat RM30. Tapi sekarang, kerajaan sekarang minggu pertama memerintah telah beri RM1,500. Bersyukurlah, kalau tak cukup kita tambah. Ahli-ahli perniagaan diberikan bantuan, jadi ahli perniagaan yang diberi bantuan ini kena sebut sikitlah dalam media sosial bahawa kerajaan telah beri bantuan dan sebagainya. Masalah besarnya, orang yang dapat nikmat ini kadang-kadang mereka diam. Jadi, akhirnya orang yang tak dapat atau tertinggal, akan bising.
PERIBADI
Tak penatkah berpolitik, sedangkan Datuk Seri sudah menceburkan diri sejak 1986, lebih 30 tahun berpolitik?
Sepatutnya orang yang tanya soalan ini bersyukur sebab saya masih meneruskan kerja saya. Kalau kita ada seorang veteran yang meneruskan kerja dengan hebat, kita bersyukur Allah SWT telah hadiahkan kepada kita seorang pemimpin yang tidak jemu memberi perkhidmatan. Kalau dia rasa dia tak mampu dan tak bermaya, jadi dia boleh mengundurkan diri. Tapi kalau dia rasa mampu dan bermaya, dan kita memerlukan kepimpinannya, kita memerlukan sedikit kehebatannya, wajar kita biarkan. Saya mengira pengundi saya, kalau pengundi saya rasa teruskan, saya teruskan. Sebab orang yang mahu saya berhenti pun, sebahagian besarnya sebaya saya. Jadi kalau nak suruh saya berhenti, dia pun kena berhentilah (tertawa).
Tak berhasrat beri laluan kepada orang baru?
Di Perlis, pada pilihan raya lepas kita (BN) menang bukan sebarang menang, tapi menang dua pertiga majoriti. Dalam pilihan raya lepas, kita Dewan Negeri ada 15 (calon), 10 adalah orang baru. Apakah 10 orang ini bukan orang baru, sedangkan Arau daripada lima Dewan Undangan Negeri (DUN), tiga orang baru. Kangar daripada lima DUN, tiga orang baru. Padang Besar daripada lima DUN, empat orang baru. Jadi, 10 daripada 15 adalah orang baru.
Jadi adakah orang baru ini kena berhenti pada pilihan raya akan datang pula? Tak mengapalah, kalau suruh berhenti, kita ambil orang baru lagi (tertawa). Yang lama tinggal lima orang, saya ingat satu pertiga orang lama, orang baru dua pertiga. Kalau buang semua (orang lama) 100 peratus pun boleh juga, tapi kurang manislah sebab pengundi kita pun majoriti orang yang ada sentimen terhadap orang lama.










