PETALING JAYA: Kerajaan perlu memanfaatkan potensi besar yang terdapat pada industri tenaga solar untuk dijadikan enjin bagi memulihkan semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. yang juga Profesor Adjung Universiti Perguruan Sultan Idris, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, ketika ini Malaysia berada pada kedudukan sebagai negara pembuat dan pengeluar panel solar kedua terbesar di dunia.
“Kita ada syarikat gergasi pengeluar panel solar, Risen Solar yang melabur RM42 bilion di Malaysia dan membuka 3,000 peluang pekerjaan. Kita ada beberapa syarikat lain.
“Industri tenaga solar boleh bawa banyak perubahan kepada Malaysia terutama apabila kita cuba memulihkan semula ekonomi.
“Ini adalah masa yang terbaik untuk melihat semula dan memberikan lebih banyak peluang kepada industri solar untuk membina semula perniagaan, membina semula ekonomi dan menaikkan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kita boleh kembali semula sama sebelum negara dilanda Covid-19 dalam tempoh yang pendek,” kata Guntor.
Beliau yang juga pemilik dua ladang solar berskala besar di Malaysia berkata demikian ketika menjadi panel pada webinar bertajuk “Peluang Pelaburan dalam Tenaga Diperbaharui: Prospek Industri Solar di Malaysia” sempena Minggu Tenaga dan Utiliti ASEAN.
Menurut Guntor, pasaran industri tenaga solar di Malaysia mempunyai bakat tempatan dalam industri yang mempunyai kemahiran tinggi setaraf global.
Katanya, ia selari dengan hasrat kerajaan menyasarkan penggunaan tenaga solar dan tenaga boleh diperbaharui dari enam peratus sekarang kepada 30 peratus pada 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA), Davis Chong berkata, kerajaan perlu memberi pemotongan cukai bagi menggalakkan pengguna memasang panel solar di atas bumbung di kediaman masing-masing,
Manurutnya, terdapat 3,200,000 rumah di Malaysia yang mempunyai potensi untuk pemasangan panel solar di atas bumbung bagi menjana tenaga elektrik yang boleh digunakan oleh pemilik sekali gus mengurangkan bil tenaga dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
“Bila kita naik pesawat, kita boleh lihat banyak bumbung rumah ini tidak digunakan untuk memasang panel solar bagi membekalkan tenaga yang boleh diperbaharui.
“Kita harap kerajaan boleh memberikan pemotongan cukai kepada isi rumah sebagai galakan kepada mereka untuk memasang panel solar,” katanya.
Tambah Davis, terdapat 450,000 rumah kedai, 90,000 kilang besar dan 21,000 kilang kecil, 1,000 pusat beli-belah dan 5,000 bangunan dan pejabat kerajaan yang turut berpotensi untuk pemasangan panel.
Katanya, tahun lalu pemasangan panel solar di bumbung kediaman menghasilkan tenaga elektrik berkapasiti 19.6 megawatt manakala bangunan bukan kediaman pula menghasilkan tenaga 426 megawatt.
Webinar selama sejam itu turut menampilkan Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Hijau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Ruzlisham Mat Diah dan dikendalikan oleh Ketua Pembangunan Perniagaan Antah Solar Sdn. Bhd., Akmaludin Zakri Tunku Zuhri. – UTUSAN









