Mohd Shafie hormati keputusan mahkamah, arah peguam failkan rayuan

Mohd Shafie hormati keputusan mahkamah, arah peguam failkan rayuan

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menghormati keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima minggu terhadapnya dalam prosiding penghinaan mahkamah, sambil mengarahkan pasukan peguamnya memfailkan rayuan.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara terbabit kepada proses perundangan dan berharap ia dapat berjalan mengikut lunas undang-undang.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan. Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya.

“Namun begitu, amanah saya kepada rakyat tetap tidak berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak awal lagi isu berkenaan bukan mengenai dirinya, sebaliknya berkaitan pemergian seorang kanak-kanak yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, harapan beliau adalah agar kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan.

“Memandangkan perkara ini kini berada di hadapan Mahkamah Rayuan, saya tidak akan mengulas lanjut.

“Saya akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.

“Komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti tetap tidak berubah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Shafie hari ini dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataannya mengenai inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara Mohd Shafie mengemukakan rayuan terhadap sabitan berkenaan.

Dalam penghakimannya, Amir memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Shafie melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN