KUALA LUMPUR: Pelakon, Ashraf Muslim memuat naik perkongsian video pengurusan jenazah Covid-19 dan berharap orang ramai sedar bahawa wabak itu satu perkara yang serius.
Pada masa sama pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu, berkata, sebagai bekas pesakit Covid-19, dia sendiri telah menyaksikan keadaan sebegitu dan menggesa kerajaan untuk mengambil keputusan yang sewajarnya bagi menamatkan ‘peperangan’ senyap itu.
“Ini semua adalah iktibar kepada kita semoga berhati-hati dan jangan pandang rendah terhadap wabak Covid-19.
“Saya tahu macam mana perasaan bila kena Covid-19 dan melihat keadaan di hospital di unit rawatan rapi (ICU), pusat kuarantin dan bilik jenazah hospital.
“Allahuakbar… sedarlah kawan-kawan. Kepada pemerintah kerajaan tolonglah buat keputusan yang tepat untuk selamatkan nyawa-nyawa rakyat,” ungkapnya.
Menerusi perkongsian di Instagram milik pelakon berusia 39 tahun itu, video jenazah berkenaan bertempat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.
“Kesian melihat keadaan di sana, kesian mereka yang mengurus dan ahli keluarga yang kehilangan ahli anggota keluarga yang tersayang. Ya Allah bantulah kami semua, semoga kami di bawah lindungan Mu ya Allah,” coretnya.
Untuk rekod, Ashraf sebelum ini disahkan positif virus berkenaan pada akhir Mac lalu telah menerima rawatan di Wad 31, Hospital Sungai Buloh, dan bebas pada awal Mei lalu.










