MELAKA: Seorang pekerja kilang bertindak membakar kerusi dan meja kaunter hadapan Pejabat Pos Selandar, Jasin dekat sini selepas berang tidak menjumpai barang berharga dalam kejadian pecah masuk bangunan itu, semalam.
Suspek berusia 43 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas polis di sebuah rumah di Pekan Selandar selepas lima jam melakukan jenayah tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, laporan polis mengenai kejadian telah dibuat oleh pengurus cawangan pada pukul 11 malam.
Katanya, mengikut laporan dibuat, kejadian disedari berlaku pada pukul 9.15 malam apabila pengadu menerima isyarat penggera di telefon bimbitnya dan ternampak kelibat seseorang dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan tersebut.
“Pengadu segera mendapatkan bantuan polis dan pemeriksaan di lokasi mendapati kerusi serta meja di bahagian kaunter perkhidmatan telah terbakar.
“Pasukan bomba turut dipanggil ke lokasi untuk mengawal kebakaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sukri, siasatan lanjut di lokasi juga menemukan kesan pecah masuk di mana cermin dan jeriji tingkap belakang bangunan itu diumpil serta pagar di bahagian belakang dipotong.
Jelasnya, suspek kemudian berjaya dikesan dan diberkas sepasukan pegawai serta anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
“Polis merampas pakaian serta peralatan seperti kuku kambing dan pemetik api yang dipercayai digunakan suspek dalam jenayah tersebut.
“Suspek mengaku telah membakar kerusi dan meja kaunter perkhidmatan pejabat pos di situ selepas gagal mendapatkan barang berharga,” jelasnya.
Jelasnya, semakan mendapati, suspek sedang menjalani perintah pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang tamat pada 23 September tahun depan, selain mempunyai empat rekod berkenaan dadah dan tujuh rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh bangunan,” katanya.