Bergolok-bergadai teruskan hidup - Utusan Malaysia

Bergolok-bergadai teruskan hidup

ZAIDI BUROK bersama dua anaknya yang menjadi pendorong untuknya terus berniaga di kafe mereka di Pekan Semporna, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Walau terpaksa menjual nasi dan mi goreng pada harga antara RM1 dan RM2 sehingga ke kawasan ladang kelapa sawit, Zaidi Burok tidak sedikit pun berasa letih.

Demi kelangsungan hidup, pengusaha pelancongan Semporna yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ini cuba bertahan dengan menceburi bidang lain sehingga industri pelancongan kembali pulih.

Berbekalkan kemahiran dalam bidang masakan yang ditinggalkan sejak 20 tahun lalu, pemilik Scuba Jeff Mabul ini membuka gerai di kaki lima dan seterusnya mengusahakan restoran makanan barat di Pekan Semporna sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

“Mula-mula jualan di gerai memang tidak laku, jadi kami terpaksa masuk ke ladang untuk menjual makanan pada harga RM1 hingga RM2 semasa PKP 1.0.

“Kemudian, saya mengambil keputusan mengubah suai bilik penginapan Jeff Backpackers Lodge di Pekan Semporna menjadi sebuah restoran. Saya  jual pendingin hawa dan katil untuk mendapatkan modal permulaan mengusahakan restoran.

“Biarpun tidak memperoleh keuntungan yang banyak tapi cukuplah untuk menampung makanan seharian kakitangan saya di Pulau Mabul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bekas anggota polis yang berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, dia dan kakitangannya belajar bertukang melalui Youtube bagi menyediakan peralatan di dalam restoran dengan menggunakan kayu terpakai.

Ceritanya lagi, industri pelancongan tidak akan pulih dalam masa terdekat, jadi pengusaha pelancongan sepertinya perlu belajar kemahiran dan menceburi bidang lain untuk meneruskan kehidupan.

Zaidi berkata, berikutan pelaksanaan PKP yang berterusan, kira-kira 20 tempahan daripada pelancong Semenanjung Malaysia terpaksa ditunda kerana deposit pelanggan tidak mampu dikembalikan.

Jadi, pelanggan yang sudah membayar deposit boleh datang pada bila-bila masa apabila sempadan dan sektor pelancongan mula dibuka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN