fbpx

Bekas ADUN Batu Maung didakwa 106 pertuduhan rasuah RM11 juta 

MANSOR Musa Ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas dakwaan berkaitan rasuah bernilai lebih RM11 juta. - UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN

BUTTERWORTH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Mansor Musa, 58, mengaku tidak bersalah atas 106 pertuduhan berkaitan rasuah bernilai lebih RM11 juta. 

Beliau yang juga Pengerusi sebuah koperasi hartanah di sini membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus. 

Mengikut 42 pertuduhan, dia didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang dan harta milik syarikat yang merupakan hasil kepada suatu aktiviti haram. 

Beliau yang juga ketua bahagian sebuah parti politik itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali. 

Sementara itu, bagi 62 pertuduhan lagi, dia didakwa menerima wang dan harta daripada syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta mana-mana lebih tinggi. 

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di antara September 2011 hingga Ogos 2020 dengan membabitkan nilai lebih RM11 juta. 

Kes dikendalikan pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhamad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri. 

Tertuduh diwakili peguam Kek Boon Wei dan Hellen Ng. 

Sementara itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 28 September ini. 

Difahamkan pertuduhan tersebut merupakan sebahagian daripada 160 pertuduhan yang akan dihadapinya. 

Tertuduh dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu ini bagi berdepan 54 lagi pertuduhan. 

Sebelum ini, SPRM dilaporkan menahan seorang Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah sebuah koperasi hartanah atas kesalahan menerima wang rasuah dan barangan berharga yang dianggarkan berjumlah lebih RM16 juta. 

Menurut sumber, suspek didakwa menerima sogokan itu daripada seorang Pengarah syarikat pemaju bergelar Tan Sri melalui syarikat miliknya. 

Jelasnya, sogokan itu sebagai balasan melantik syarikat pemaju tersebut untuk projek usahasama yang dijalankan di tanah-tanah milik koperasi bagi tujuan pembangunan.

Difahamkan, penahanan suspek itu adalah berdasarkan siasatan dan operasi yang dijalankan oleh SPRM bermula Ogos tahun lalu. – UTUSAN ONLINE 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!