PETALING JAYA: Beberapa kawasan Parlimen telah berjaya mengagihkan bantuan menerusi Bantuan Makanan kepada kumpulan sasar dalam tempoh tidak sampai seminggu, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, peruntukan bagi program bakul makanan itu yang kini masih rancak dijalankan turut dipanjangkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tanpa mengira perbezaan parti politik.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan agenda prihatin rakyat merupakan antara tumpuan utama kerajaan yang bertujuan membantu kumpulan berpendapatan B40 dan M40 melalui beberapa langkah bantuan tunai secara langsung.
“Misalnya di bawah pakej terbaharu iaitu Pemulih, kita akan meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat dan memperkenalkan Bantuan Khas Covid-19 atau BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.
“Seperti yang semua sedia maklum, setiap bulan mulai Julai hingga Disember nanti akan dipastikan rakyat dalam kategori B40 akan dibantu dan kerajaan bercadang menyalurkan bantuan bernilai sebanyak RM10 bilion,” katanya ketika penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.









