GEORGETOWN: Insiden membabitkan lebih 200 warga asing berkumpul secara beramai-ramai sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Surau Taman Pelangi dekat Juru di sini, diharap menjadi peringatan kepada semua khususnya pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, semua pihak perlu terus mengambil serius dalam mematuhi SOP ditetapkan demi keselamatan bersama.
Dalam masa sama, beliau berterima kasih kepada polis atas tindakan susulan penguatkuasaan undang-undang dengan pantas mengenal pasti dan menahan individu-individu yang sewenang-wenangnya melanggar SOP.
“Ini bertepatan dengan tindakan tegas kerajaan dalam menangani ketidakpatuhan SOP di dalam usaha memerangi Covid-19 yang makin mengganas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan warga asing yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar pekarangan surau berkenaan yang dirakamkan orang awam yang melalui kawasan terbabit.
Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINP) berkata, pihaknya juga ingin menyampaikan rasa kurang senang orang ramai yang disampaikan kepada beliau apabila melihat imej tahanan reman kerana bersembahyang, tetapi melanggar SOP telah dibawa dengan tidak memakai kasut dan digari.
“Adalah diharapkan pihak polis boleh melaksanakan sedikit budi bicara di dalam hal ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya telah meminta laporan daripada pihak pengerusi kariah Taman Pelangi dan daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) untuk mendapat penjelasan lanjut.
“Setelah meneliti kronologi kes, didapati pihak kariah telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu hanya 100 orang jemaah terdiri daripada warganegara dan pemastautin tetap) yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha pada pagi tersebut,” kataya.
Tambahnya, pengerusi kariah juga didapati telah memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan, pertama pada malam raya dan kali kedua sebelum solat Aidiladha didirikan.
“Penekanan telah pun dibuat oleh pengerusi kariah untuk tidak membenarkan warga asing untuk menunaikan solat pada waktu itu.
“Namun, sebagaimana yang telah dilaporkan sejumlah warga asing berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau dan mengikut solat Aidiadha yang sedang berlangsung,” katanya.
Beliau berkata, ia jelas di luar kawalan pihak kariah kerana pihak jawatankuasa kariah telah pun mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk sejurus sebelum solat dimulakan. – UTUSAN ONLINE










