2,461 kes dera kanak-kanak dalam tempoh lima bulan - Utusan Malaysia

2,461 kes dera kanak-kanak dalam tempoh lima bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebanyak 2,461 kes penderaan terhadap kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh lima bulan antara Januari hingga Mei tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, angka tersebut diperoleh daripada Talian Kasih dan kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan kes penderaan dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

“Laporan yang diterima daripada talian berkenaan akan disiasat dan sekiranya mempunyai bukti, kes berkenaan akan segera dilaporkan kepada pihak polis.

“Kebanyakan kes (penderaan) yang kita terima adalah dalam kalangan ahli keluarga sendiri dan bukannya membabitkan orang luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kanak-kanak bekas penguni Rumah Bonda di Rumah Kanak-kanak Rembau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKM, Fatimah Zuraidah Salleh dan Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi.

Pada 8 Julai lalu, Rina berkongsikan sebanyak 2,040 kes penderaan terhadap kanak-kanak berlaku dalam tempoh empat bulan antara Januari hingga April tahun ini sekali gus menyaksikan berlaku tambahan sebanyak 421 kes pada bulan Mei.

Bagi statistik terbaharu sehingga Mei itu, penderaan fizikal mencatatkan sebanyak 728 kes dengan 359 kes daripadanya membabitkan kanak-kanak lelaki dan 369 membabitkan kanak-kanak perempuan.

“Kategori penderaan seksual pula 696 kes direkodkan dengan 42 kes membabitkan kanak-kanak lelaki dan 654 kes membabitkan kanak-kanak perempuan.

“Bagi kategori penderaan emosi, sebanyak 83 kes direkodkan dengan 36 kes membabitkan kanak-kanak lelaki dan 47 kes membabitkan kanak-kanak perempuan,” katanya.

Tambah beliau sebanyak 856 kes direkodkan bagi kategori pengabaian dan bagi kategori dibuang atau tiada ibu bapa pula, sebanyak 53 kes direkodkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN