PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menangani masalah dalam negara.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, ia berdasarkan kejayaan Mageran pada 15 Mei 1969 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan mengundang parti-parti lawan menyertai kerajaan serta memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Justeru, bekas Perdana Menteri itu yakin penubuhan Mageran mampu menangani masalah kesihatan, ekonomi, politik dan sosial yang dihadapi negara ketika ini.
“Mageran berjaya tangani masalah politik pada 1969 dengan parti-parti lawan sertai kerajaan, malah dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Mageran dapat capai kestabilan, gabungan Perikatan juga terus memerintah dengan bilangan majoriti yang lebih besar.
“Ia juga akan dianggotai pakar-pakar bidang tertentu dan tidak semestinya orang politik. Kami juga mempunyai maklumat yang mencukupi dan ada idea tersendiri untuk mengurangkan bilangan kes baru dan kes kematian, saya pun sudah biasa tangani krisis. Jadi saya percaya Mageran boleh selesaikan masalah dihadapi negara,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas menghadap Seri Paduka di Istana Negara, semalam.
Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, walaupun Seri Paduka langsung tidak menolak cadangannya, penubuhan Mageran mesti dicadangkan oleh kerajaan.
“Saya tawar diri untuk berkhidmat dalam Mageran ini, tetapi saya tidak rasa kerajaan akan tubuhkannya, mereka awal-awal lagi tidak setuju kerana menganggap banyak perkara yang telah diselesaikan seperti isu kesihatan, ekonomi dan politik, jadi sukar untuk ada satu kuasa baru dan kerajaan hari ini akan terus jadi kerajaan.
“Tetapi saya khuatir keadaan akan bertambah buruk, kerajaan seperti tidak tahu bagaimana untuk tangani masalah bilangan kes Covid-19, kalau tidak ada Mageran tiada apa yang boleh dilakukan, kerajaan pandai ambil idea orang tetapi tidak pandai untuk laksanakannya,” katanya.
Selain isu kesihatan, ekonomi, politik dan sosial, Mahathir turut membangkitkan isu darurat dan persidangan Parlimen kepada Al-Sultan Abdullah.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menghadap Seri Paduka bagi mewakili Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, perbincangan yang berlangsung hampir satu jam banyak berkait dengan perkembangan isu Covid-19, darurat dan persidangan Parlimen.
“Yang di-Pertuan Agong sangat terbuka dan mesra berbincang, namun Seri Paduka serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes Covid-19.
“Pas merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menjadi pemimpin politik terakhir menghadap Seri Paduka.
Setelah sejam berada di istana, Ahli Parlimen Semporna itu bagaimanapun terus beredar tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.
Usaha Utusan Malaysia menghubungi Mohd. Shafie bagi mendapatkan kenyataan lanjut susulan pertemuannya dengan Seri Paduka gagal apabila panggilan telefon dimatikan.
Pegawainya memberitahu, beliau kemungkinan tidak memberikan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis sehingga Istana Negara membuat pengumuman baharu.
Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong Presiden MIC, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perbincangan bersama Seri Paduka itu memfokuskan isu pandemik Covid-19, rakyat dan tentang tindakan akan datang.
Bagaimanapun beliau tidak menjawab apakah yang dimaksudkan berkenaan ‘akan datang’ itu.
“Takkanlah saya hendak beritahu perbincangan saya bersama Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka semua okay dan tiada benda apa sangat. Benda biasa sahaja,” katanya.
Tambahnya, beliau masuk menghadap Seri Paduka kira-kira pukul 12 tengah hari dan mengambil masa hampir sejam.
Hari ini, pemimpin UMNO bakal menghadap Seri Paduka atas siri pertemuan sama dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima jemputan menghadap Seri Paduka, 14 Jun ini.
Kelmarin, Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menghadap Seri Paduka. – UTUSAN










