PETALING JAYA: Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau popular dengan panggilan Nur Sajat pernah mendakwa menjadi mangsa penipuan RM50,000 selepas cuba menukar nama dan jantina dalam MyKad miliknya pada 2019.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, berikutan dakwaan Nur Sajat, kes tersebut sedang dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Ampang dan prosiding seterusnya akan disambung pada 14 Julai ini.
Bagaimanapun sumber itu berkata, perbicaraan tersebut memerlukan keterangan Nur Sajat selepas usahawan itu membuat laporan polis terhadap wanita yang didakwa memperdayanya sehingga dia menyerahkan wang RM50,000 bagi menukar butiran dalam MyKad miliknya.
“Nur Sajat mendakwa membayar RM50,000 kepada wanita berkenaan sebagai upah bagi menukar nama dan jantina seperti dikehendaki pada MyKad miliknya.
“Bagaimanapun selepas pembayaran dibuat, pertukaran maklumat dalam kad pengenalannya tidak berjaya dan menyebabkan pembantu kepada Nur Sajat membuat laporan polis ke atas wanita itu engan dakwaan menipu,” kata sumber itu.
Jelas sumber tersebut, sepanjang prosiding perbicaraan, Nur Sajat hanya hadir sekali sebagai saksi sebelum dia menghilangkan diri dan tidak muncul untuk prosiding seterusnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, Nur Sajat perlu hadir ke Mahkamah Majistret Ampang pada 14 Julai ini bagi membantu pihak pendakwaan dalam kes membabitkan seorang wanita tempatan berkenaan.
“Usahawan kosmetik tersebut dicari polis dan belum dapat dikesan. Nur Sajat patut hadir kerana perbicaraan membabit dakwaannya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Alamat terakhir Nur Sajat ialah di No 2, Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu.
Menurut kenyataan itu, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai Nur Sajat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafrina Nadzleen Ibrahim di talian 019-2692954.
Pada Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat, 36, kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.
Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii. – UTUSAN










