PUTRAJAYA: Pelaksanaan total lockdown mula menunjukkan petanda baik apabila jumlah kumulatif kes positif Covid-19 menurun kepada 41,630 kes pada minggu kedua perintah itu berbanding 52,040 kes pada permulaan minggu 1 Jun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata,
kadar kes positif yang dikesan daripada sejumlah ujian saringan pula berkurangan kepada 6.6 peratus pada minggu kedua berbanding 7.3 peratus pada awal minggu perintah kawalan tersebut.
Menurut beliau, kadar jangkitan kes Covid-19 menurun dari 152 kes per 100,000 penduduk kepada 122 per 100,000 penduduk.
Beliau berkata, perkembangan kes mengikut pemantauan di bawah model Susceptible, Exposed, Infectious and Removed (SEIR) dan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 pada 0.9 ketika ini, jangkaan kes positif harian menjelang hujung bulan ini adalah sekitar 4,000 ke 4,500 kes.
“Situasi ini bukan dinilai semata-mata kepada kes positif tetapi purata jumlah dijangkiti dan berapa ramai keluar hospital, pendedahan dan kebolehjangkitan kes mengikut unjuran saintifik data model SEIR dan bukannya kita buat ramalan pak nujum.
“Kalau pada hari tersebut nilainya melebihi apa yang diunjurkan bermakna ada sesuatu yang tidak kena, bermaksud total lockdown ini tidak cukup, maka perlu buat sesuatu melalui pelbagai cara intervensi lain,” kata beliau ketika ditemui kelmarin.
Dr. Adham berkata, keberkesanan total lockdown hanya dapat dilihat sekurang-kurangnya dua minggu selepas pelaksanaan dan sekiranya dikatakan bilangan kes yang berkurang ini adalah disebabkan tidak cukup saringan dibuat, adalah kurang tepat.
Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan mengesyorkan total lockdown kepada kerajaan selepas membuat analisis data dan melihat kepada unjuran statistik yang meramalkan bahawa bilangan kes akan melonjak kepada 13,000 kes pada pertengahan Jun sekiranya langkah drastik tidak diambil.
Selain itu, katanya, satu faktor yang amat penting untuk menentukan keputusan lockdown adalah kapasiti sistem kesihatan yang semakin terancam apabila kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) melebihi 100 peratus pada Minggu Epid 21 termasuk mengawal kes-kes varian baharu yang merebak lebih ganas.
“Jika pada awal pandemik kita boleh memasukkan semua pesakit ke hospital, namun sekarang kita tidak boleh buat begitu kerana sistem kesihatan tertekan ekoran pertambahan mendadak. Jadi, sebelum sistem kesihatan lumpuh, kita perlu melakukan sesuatu,” katanya.
Jelas Dr. Adham lagi, walaupun jumlah kes sembuh tinggi dalam tempoh dua minggu lockdown, jumlah ini adalah dalam kalangan mereka yang didiagnos positif atau kes baharu pada dua minggu yang lepas.
“Kes-kes Covid-19 di ICU belum menunjukkan penurunan ketara. Antara sebabnya adalah tempoh masa lebih lama diperlukan oleh pesakit-pesakit ICU untuk sembuh.
“Secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori 4 adalah antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan di ICU adalah antara 19 hari ke 26 hari,” katanya.
Dr. Adham turut memberitahu, kadar penggunaan katil yang menurun sedikit pada Minggu Epid 23 dan 24 ke 94 hingga 98 peratus sebahagiannya disumbang oleh pertambahan bilangan katil ICU, termasuk katil yang repurpose (menggunakan kapasiti katil wad lain).
Dalam tempoh lockdown ini, kata beliau, aktiviti kesihatan awam masih giat dilaksanakan antaranya, isolasi kes, pengesanan dan saringan kontak, saringan dalam komuniti dan kawalan sempadan.
“Apabila lockdown dilaksanakan, terdapat pengurangan orang yang bergerak atau berhimpun dan ini mengurangkan risiko jangkitan dan bilangan kes.
“Pelaksanaan lockdown memberi masa untuk sistem kesihatan pulih dan supaya semua langkah-langkah kesihatan awam dapat dipertingkatkan, khususnya program vaksinasi.
“Bagaimanapun, kita mahu rakyat berwaspada dan tetap mengambil langkah penjagaan kesihatan walaupun perkembangan kes baik,” katanya.
Semalam, Malaysia mencatatkan 5,244 kes baharu dengan tujuh negeri merekodkan hanya dua digit kes iaitu Kelantan 81, Perak (75), Terengganu (27), Labuan 77, Putrajaya (13) dan Perlis satu kes.
Dua hari sebelum ini negara merekodkan kes harian positif 4,743 (Selasa) dan 4,743 (Isnin).
Sementara itu, Adham memberitahu, sehingga kini Kementerian Kesihatan mengesan 183 kes varian yang membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI) iaitu 167 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.
Katanya, VOC yang dilaporkan adalah 137 kes adalah varian Beta (B.1.351) (kesemua kes jangkitan tempatan); 21 kes varian Delta (B.1.617.2) (12 kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import); dan sembilan kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) (empat kes jangkitan tempatan dan lima kes import).
VOI yang dilaporkan pula adalah 12 kes varian Theta (P.3) (kesemua kes jangkitan tempatan); tiga kes varian Eta (B.1.525) (kesemua kes import); dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1) (kes import),” katanya. – UTUSAN











