Tidak munasabah galakkan rakyat berhutang - Tok Mat - Utusan Malaysia

Tidak munasabah galakkan rakyat berhutang – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menempelak tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Beliau berpendapat, ia bukan caranya untuk meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan.

“Di mana munasabahnya mengalakkan rakyat untuk berhutang? Inikah namanya strategi pemulihan yang bertangggungjawab? Rakyat sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh PKP yang dilanjutkan.

“Menambah beban hutang bukan penyelesaian untuk keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit. Menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi sangat tidak bermoral,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, dana simpanan kerajaan tempatan seharusnya digunakan untuk melakukan lebih banyak kebajikan kepada rakyat.

“Banyak kerajaan tempatan mempunyai ‘reserve’ yang besar. Tugas kerajaan tempatan mesti mengutamakan keperluan manusiawi pembayar cukainya dan bukan sekadar melakukan kerja-kerja perbandaran.

“Begitu ramai rakyat kita yang terpaksa membuat pinjaman dengan ceti-ceti berlesen demi kelangsungan hidup serta perniagaan kecil mereka yang semakin malap. Mereka terhimpit dengan kadar faedah yang sangat tinggi,” katanya.

Justeru, katanya, tugas kerajaan adalah untuk mencari jalan keluar demi pemulihan semula ekonomi negara.

“Tetapi menggalakkan rakyat berhutang dengan ceti, bukan jalannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN