KUALA LUMPUR: Tiada sebarang cadangan atau kertas kerja rasmi berkaitan pengambilan pegawai perubatan kepada Kementerian Kesihatan atau pihak berkaitan.
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pihaknya maklum bahawa urusan pengambilan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan menghadapi kekangan.
Malah, menurutntya, kerajaan juga tidak mampu menyediakan penempatan secara tetap secukupnya kepada sebilangan besar siswazah perubatan di negara ini.
“Isu ini telah lama diketahui umum melibatkan keseluruhan graduan perubatan tanpa mengira kaum dan kini memberi kesan kepada sistem kesihatan negara.
“PPPKAM berpendapat penyelesaian isu ini hendaklah dikendalikan oleh kerajaan secara adil, tepat, mengikut keutamaan dan keperluan perkhidmatan perubatan di negara ini tanpa mengira bangsa atau kaum.
“Sebagai persatuan profesional dengan keahlian pelbagai kaum dan agama, tidak pernah dan tidak akan melihat isu-isu perkhidmatan kesihatan mengikut batas-batas jantina, bangsa, kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu hadir bagi menjelaskan tentang kenyataan media dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabtu lalu berkenaan isu pelantikan pegawai perubatan secara tetap didakwa ditentukan berdasarkan kaum setelah merujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan sebelum ini.
Kementerian Kesihatan semalam berkata, MMA keliru dan salah tafsir berkaitan pernyataan pada perenggan pertama kenyataan media bahawa wujud unsur perkauman dan keagamaan dalam pemilihan dan pelantikan pegawai perubatan secara secara.
Pernyataan perenggan pertama tersebut bukan pendirian kementerian tetapi petikan dan ulasan oleh PPPKAM dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) menerusi keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Jun lalu bertajuk ‘Teliti semula urusan pengambilan pegawai perubatan’.
Isu lantikan pegawai perubatan secara kontrak dan tetap bermula apabila pada 15 Jun lalu, akhbar ini turut melaporkan, Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail mengunjurkan 60 peratus atau 3,600 daripada 6000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun adalah golongan bumiputera.
Bagaimanapun, hanya 50 peratus bersamaan 1,800 siswazah daripada 3,600 diserap ke dalam perkhidmatan berdasarkan perjawatan sedia ada selepas masing-masing menamatkan kontrak manakala selebihnya dijangka menganggur.
Pada 16 Jun lalu, Zainal pula menggesa kerajaan meneliti semula urusan pengambilan dan penempatan pegawai perubatan atau lantikan baharu di dalam Kementerian Kesihatan.
Ini bagi membolehkan mereka khususnya bumiputera dapat berkhidmat secara tetap dan kerajaan dapat menentukan jumlah sebenar diperlukan untuk ditempatkan di sesuatu kawasan perkhidmatan kesihatan jika ada taburan bilangan pegawai perubatan yang jelas.
23 Jun lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba menegaskan pengambilan doktor graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan, malah diteruskan seperti kaedah beberapa tahun lalu.
Adham bagaimanapun tidak menyebut soal perlantikan dan pengambilan pegawai perubatan ditentukan berdasarkan kaum atau bangsa namun mengambil maklum tentang perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE










