Teroka bidang hampir sama, berlainan - Utusan Malaysia

Teroka bidang hampir sama, berlainan

KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siswazah perubatan dari universiti tempatan dan luar negara yang menganggur disarankan untuk mencari pekerjaan dalam bidang lain yang bukan jenis merawat pesakit.

Hal ini kerana peluang untuk meneruskan perkhidmatan dalam bidang klinikal semakin kecil selain jumlah penganggur juga bertambah setiap tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kesihatan, Datuk Dr. Kuljit Singh, berkata, siswazah boleh menggunakan latar belakang pendidikan masing-masing tetapi meneroka bidang hampir sama atau berlainan.

Bagaimanapun, katanya, pekerjaan tersebut tidak sampai ke tahap memberi preskripsi ubat jauh sekali merawat pesakit kerana mereka harus berdaftar terlebih dahulu dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan mendapat sijil perakuan perubatan.

“Tiada jalan penyelesaian yang sebenar untuk membantu siswazah namun ini tak bermakna mereka tidak boleh mendapat pekerjaan. Masih ada pilihan lain contohnya bidang farmasi, insurans dan penyelidikan kesihatan awam tetapi terbatas dengan saranan mana-mana rawatan atau pesakit.

“Mereka hanya boleh menggunakan kepakaran dalam bidang yang pernah dipelajari untuk bentuk kajian dan pembacaan di pejabat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan 55 peratus siswazah universiti tempatan enggan meneruskan kerjaya mereka dalam bidang profesional apabila memasuki alam pekerjaan disebabkan gaji tidak setimpal dan syarat ketat untuk mendapatkan status profesional.

VICTOR HOE CHEE WAI ABDULLAH

Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, sekalipun siswazah perubatan tidak berpeluang menjadi doktor, mereka ada pilihan lain seperti menjadi penyelidikan kesihatan awam menggunakan latar belakang pendidikan sedia.

Katanya, mereka yang ingin ‘keluar’ dari bidang asal harus berhati-hati dalam membuat keputusan agar ilmu dan kemahiran yang dipelajari akan terbazir.

“Untuk memastikan masa pengajian mereka tidak tersia-sia, mereka patut melengkapkan latihan klinikal dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebelum berhenti dari bidang perubatan.

“Pun begitu, siswazah yang baik adalah mampu untuk menjadi siswazah bersifat menyeluruh dalam apa sahaja bidang yang diceburi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×