PETALING JAYA: Sistem keselamatan dan pengawasan ruang angkasa Malaysia kukuh dan tidak mudah diceroboh pesawat asing.
Ini terbukti apabila radar tentera berjaya mengesan 16 pesawat tentera udara China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional.
Sebaliknya, pada masa sama tindakan China juga dilihat mengikis keyakinan Malaysia terhadap hubungan dua hala antara negara terutama membabitkan isu keselamatan.
Mengulas mengenai dakwaan ruang udara negara mudah diceroboh, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, radar pertahanan udara terbukti berjaya mengesan kegiatan pesawat berkenaan.
Tambahnya, sebagai negara berdaulat, adalah penting ruang udara dipantau secara berterusan dengan penambahan aset penting termasuk pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA).
“Sebagai negara berdaulat, platform bersesuaian adalah penting untuk diadakan bagi memantau ruang angkasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, TUDM mendedahkan pihaknya mengesan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional sebelum dipintas pesawat Malaysia.
Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada pukul 11.53 pagi waktu tempatan.
Dalam pada itu, Penganalisis Pengajian Pertahanan dan Undang-undang Antarabangsa, Leftenan Kolonel (B) Ahmad Ghazali Abu Hassan berkata, pencerobohan pesawat China melanggar etika diplomasi dan prinsip persahabatan dengan Malaysia yang terjalin lebih 40 tahun lalu.
Menurutnya, tindakan China juga mengikis keyakinan Malaysia terhadap hubungan dua hala terutama membabitkan isu keselamatan.
“Walaupun tindakan China tidak melanggar undang-undang antarabangsa secara jelas, negara itu perlu membuat permohonan kepada Malaysia bagi menjalankan latihan ketenteraan di kawasan terbabit.
“Pesawat China terbang sangat hampir dengan Malaysia dan tidak boleh dikatakan menceroboh ruang udara. Cuma mereka menjalankan latihan ketenteraan. Jika ikut undang-undang The United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS)1982 pesawat asing selain aktiviti ketenteraan dibenarkan terbang di kawasan Laut China Selatan.
“Justeru China patut membuat permohonan. Kita bernasib baik kerana radar tentera berjaya mengesan aktiviti mereka sekali gus membuktikan ruang udara tidak rapuh,” jelasnya.
Dalam pada itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, penghantaran pesawat Hawk TUDM terhadap aktiviti pesawat China bukti Malaysia tidak berkompromi dalam isu keselamatan.
Namun katanya, pendirian berhubung isu keselamatan dan kedaulatan ruang udara perlu dinyatakan secara tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama negara jiran lain apabila membabitkan pertindihan wilayah.
“Saluran diplomasi perlu digunakan sebaik mungkin dengan menyatakan pendirian kepada negara kuasa besar bahawa Malaysia tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar.
“Dalam hal ini pun kita tidak boleh katakan mereka menceroboh dan melanggar undang-undang antarabangsa kerana kawasan maritim di Laut China Selatan adalah kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
“Pesawat asing dibenarkan terbang di zon berkenaan mengikut UNCLOS. Namun, kita tidak tahu apakah niat sebenar China sama ada mahu memantau aktiviti ketenteraan atau sekadar latihan,” jelasnya.
Susulan kejadian itu, kerajaan Malaysia telah menghantar nota bantahan terhadap China, kelmarin.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya juga menuntut penjelasan Duta China Ke Malaysia, Ouyang Yujing.
“Malaysia memandang serius isu pencerobohan membabitkan kerajaan China.
“Pendirian kita jelas. Mengadakan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara tidak bermakna kita boleh berkompromi dalam hal keselamatan negara. Malaysia akan terus menjaga kedaulatan dan keamanannya,” katanya semalam.
Kehadiran pesawat China itu berhampiran wilayah yang dituntut negara itu bersama Malaysia, Indonesia, Brunei, Vietnam, Filipina dan China (Nine dash line) sering mencetuskan pertikaian di kawasan laluan perdagangan antarabangsa itu.
Sebelum ini kapal perang China sering menceroboh perairan yang dituntut termasuk menghalang kapal-kapal dari negara ASEAN. – UTUSAN










