Polis siasat anggota hubungi wanita melalui WhatsApp - Utusan Malaysia

Polis siasat anggota hubungi wanita melalui WhatsApp

TANGKAP layar hantaran dimuat naik seorang wanita mendakwa dihubungi anggota polis yang tular dalam media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Satu siasatan dilakukan berhubung dakwaan seorang wanita yang membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dihubungi anggota pasukan keselamatan itu melalui aplikasi WhatsApp seperti yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan itu dilakukan susulan satu hantaran yang tular dalam Twitter.

Kata beliau, berdasarkan hantaran yang dimuat naik wanita berusia 26 tahun itu, dia memaklumkan ke Balai Polis Setapak untuk memohon kebenaran merentas negeri sebelum dihubungi seorang anggota polis.

“Kami dimaklumkan wanita berkenaan yang juga penganalisis pelaburan sudah membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Gombak pukul 7.30 malam semalam dan dia akan diambil keterangan oleh pegawai penyiasat dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, kami mengenal pasti anggota polis yang didakwa menghubungi wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Ashari, siasatan berkaitan isu tular itu sedang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Pihak polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota melakukan sebarang salah laku dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN