SUBANG JAYA: Institut Kulinari Taylor’s (TCI) menerusi bakeri loaf & lattè membantu merapatkan jurang antara pelajar dengan operasi sebenar bakeri.
Ketua TCI, Cef Frederic Cerchi berkata, ramai graduan pastri muda mendapati operasi bakeri sebenar jauh lebih mencabar sebaik sahaja mereka mula bekerja, berbeza dengan teori dan sesi latihan makmal semasa pengajian.
“Penerapan loaf & lattè dalam struktur akademik kami membantu merapatkan jurang itu selain mencerminkan komitmen Taylor’s dalam menerapkan amalan industri ke dalam pembelajaran bilik kuliah.
“Ia juga menyediakan persekitaran kerja sebenar yang mampu membina keyakinan diri, naluri profesional serta tahap kesediaan para pelajar,” katanya pada Majlis Pelancaran Media Loaf & Lattè di Taylor’s Lakeside Campus, di sini, petang tadi.
Pelancaran tersebut turut mengukuhkan kedudukan TCI sebagai peneraju pendidikan kulinari dan pastri di negara ini, selaras dengan strategi jangka panjangnya untuk mewujudkan konsep ‘bilik kuliah hidup’ di kampus.
“Kami membawakan kemudahan dapur berteknologi tinggi bagi memberi peluang kepada pelajar menguasai aspek operasi bakeri secara menyeluruh, termasuk pengeluaran utama, perancangan aliran kerja, pengurusan inventori dan perkhidmatan pelanggan,” katanya.
Selain itu, TCI juga berhasrat memupuk generasi baharu usahawan kulinari melalui Program Inkubator Perniagaan yang mana menawarkan peluang francais kepada pelajar yang menunjukkan minat dan bakat yang tinggi.
Frederic berkata, mana-mana pelajar tahun kedua dan tiga boleh memohon untuk menguruskn cawangan loaf & lattè pada masa hadapan dengan sokongan latihan, prosedur pengendalian piawaian, garis panduan jenama dan bimbingan berterusan daripada TCI.
Dalam pada itu, beliau melihat potensi bakeri berkenaan untuk berkembang sebagai jenama bakeri artisan Malaysia yang mampu menembusi pasaran serantau dan antarabangsa pada masa akan datang.
“Dengan sokongan rangkaian global universiti, kerjasama industri serta semangat pelajar dan alumni, kami berharap dapat membina sebuah jenama yang bukan sahaja menonjolkan kepakaran teknikal.
“Kami juga berharap bakeri ini dapat meraikan kreativiti, warisan dan identiti generasi muda cef pastri yang menghidupkannya,” katanya. – UTUSAN










