MELAKA: Lima ahli kongsi gelap, Geng 36 yang menggunakan surat kebenaran rentas negeri ditangkap selepas melakukan samun membabitkan kerugian RM1.2 juta di sebuah kondominium di Klebang dekat sini minggu lalu.
Kesemua suspek berusia 34 hingga 37 tahun dari Lembah Klang itu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur pukul 3.45 petang, 7 Jun.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian samun sebuah keluarga pada 5 Jun.
Menurut beliau, laporan dibuat pengadu lelaki berusia 54 tahun yang mendakwa, dia dan isterinya berusia 42 tahun serta dua orang anak berusia lapan dan sembilan tahun disamun empat lelaki pukul 8.30 pagi.
“Suspek dikatakan menyerbu masuk sebaik mangsa membuka pintu rumahnya sebelum salah seorang mengambil pisau di dapur untuk mengancam.
“Dia dan isteri diikat sebelum suspek-suspek menggeledah rumah sehingga pukul 3.30 petang iaitu selama kira-kira tujuh jam sebelum melarikan pelbagai barang serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover dengan nilai keseluruhan kerugian RM1.2 juta,” kata beliau pada sidang akhbar di IPK Melaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, siasatan mendapati merentas masuk ke Melaka menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk sebuah syarikat perniagaan.
“Suspek dipercayai melakukan samun menggunakan dua buah kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan pacuan empat roda Toyota Hilux.
“Pemeriksaan pada kenderaan turut menjumpai pelekat mirip logo Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Kata beliau, semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Kesemua suspek direman lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 379A Kanun Keseksaan.- UTUSAN