BESUT: Pelancongan di pulau-pulau peranginan yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri Terengganu lumpuh selepas aktivitinya terhenti sejak setahun lalu.
Tahun 2021 yang diharap memberi sinar kepada kira-kira 3,000 penggiat pelancongan terutama di Pulau Perhentian, Redang dan Kapas, bagaimanapun bertukar sebaliknya apabila segelintirnya cuma dapat bertahan kurang dua bulan pada Mac dan April lalu.
Mereka menanggung kerugian besar disebabkan perniagaan terhenti, pada masa sama pengusaha pusat pelancongan dan operator bot di situ juga terpaksa menanggung kos operasi dan gaji pekerja.
Malah, Kuala Besut yang menjadi tumpuan hampir 200,000 pelancong tempatan dan antarabangsa setiap tahun sebagai pusat transit dan pintu masuk ke pulau-pulau peranginan di perairan Terengganu juga tidak ubah seperti pekan mati.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati ratusan bot pelancong tersadai manakala jeti pelabuhan yang sebelum ini tidak pernah sunyi dengan urusan keluar masuk pelancong, kini menjadi tumpuan haiwan seperti kambing berkeliaran.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini menyebabkan pengusaha-pengusaha pelancongan di situ berputih mata.
Walaupun kerajaan menjangkakan pembukaan penuh semua sektor ekonomi pada November dan Disember ini menerusi Pelan Pemulihan Negara yang dilancarkan baru-baru ini, ia sudah terlambat memandangkan aktiviti di pulau peranginan terpaksa dihentikan menjelang Oktober ini berikutan kedatangan musim tengkujuh.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pemilik bot, Ahmad Hafiz, 45, berkata, ada dalam kalangan mereka terpaksa membawa pulang kenderaan itu ke kediaman masing-masing kerana tidak mampu membayar kos pekerja.
Katanya, impak Covid-19 kali ini jauh lebih buruk berbanding semasa PKP 1.0, malah rata-rata penggiat sektor itu mengakui operasi perniagaan pada tahun ini, sudah berakhir.
Sementara itu, pengusaha agensi pelancongan di Kuala Besut, Suziana Mohammad, 46, berkata, syarikatnya hanya sempat beroperasi kira-kira dua bulan pada Mac dan April lalu dengan menerima kira-kira 200 pelanggan untuk ke Pulau Perhentian.
“Negara masih lagi dalam tempoh PKP, malah kesemua 15 mukim di Besut turut dikenakan PKPD sejak 22 Mei lalu dan jika sekatan dilanjutkan memang tiada rezeki untuk kami berniaga tahun ini.
“Kami ingatkan sektor pelancong boleh pulih pada 2021, tetapi hakikatnya lebih teruk berbanding tahun lalu, malah dengan kes Covid-19 yang masih tinggi mustahil untuk penggiat pelancongan Terengganu beroperasi dalam tempoh tiga bulan yang ada sebelum tengkujuh,” katanya.
Suziana yang sudah 20 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata, setakat ini dia masih mempunyai hampir 10 pelanggan yang menunda tempahan masing-masing sejak tahun lalu.
“Kemasukan pelancong ke pulau lazimnya tinggi antara bulan Jun hingga Ogos. Pendapatan memang terjejas teruk kerana perkhidmatan kami bergantung kepada kemasukan pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berkata, bukan hanya pengusaha hotel dan resort, agensi pelancongan, pemilik bot serta pemandu teksi dan kereta sewa yang mengalami kerugian, malah impaknya turut menjejaskan perniagaan lain di Kuala Besut termasuk gerai dan kedai makan.
“Kalau berterusan begini tentunya akan memberi kesan besar kepada masa depan penduduk di Kuala Besut yang bergantung kepada industri pelancongan dan perikanan,’’ katanya. – UTUSAN










