Lagi rumah panjang di Sarawak kena PKPD - Utusan Malaysia

Lagi rumah panjang di Sarawak kena PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah lagi rumah panjang di Daerah Dalat, Bahagian Mukah, Sarawak bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa hingga 18 Jun ini melibatkan Rumah Panjang Sigah anak Lak di Sungai Baoh Burak setelah mencatatkan 37 kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua perkampungan di Sabah iaitu Kampung Pengaraban, Daerah Kudat dan Kampung Sugud, Daerah Penampang turut dikenakan PKPD.

Jelas beliau, di Daerah Tawau, empat lokaliti dilaksanakan PKPD secara serentak susulan 96 kes positif baharu direkodkan meliputi Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10.

“Di Semenanjung, hanya satu lokaliti dikenakan PKPD untuk tempoh sama iaitu di Ladang Chin Teck, Bukit Ibam, Muadzam Shah, Daerah Rompin, Pahang disebabkan peningkatan kes mendadak dalam masa seminggu lalu iaitu 12 kes melibatkan para pekerja di ladang kelapa sawit terletak milik syarikat Chin Teck Plantations Berhad itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Jajahan Tumpat, Kelantan dilanjutkan lagi selama 14 hari kerana masih berlaku penularan berterusan serta kes baharu direkodkan dengan 239 kes positif Covid-19 daripada 1,462 ujian saringan dilakukan.

Menurutnya, PKPD melibatkan 15 mukim dalam Daerah Besut, Terengganu turut disambung lagi selama dua minggu bermula lusa.

Bagaimanapun jelas beliau, PKPD yang membabitkan enam lokaliti berbeza di negara ini ditamatkan esok seperti dijadualkan malah ada yang berakhir lebih awal iaitu enam mukim di Perak melibatkan Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta (kawasan Lahat, Chemor, Ipoh dan Tanjung Rambutan), Hulu Bernam Timur, Bagan Serai dan Parit Buntar.

Di Sabah, dua lokaliti dalam Bahagian Tawau turut ditamatkan PKPD secara serentak pada esok iaitu Kampung Indani, Semporna dan Kampung Pisang susulan trend penurunan kes.

Di Sarawak pula kata beliau, PKPD di Kampung Boyan, Bahagian Kuching turut berakhir esok ekoran kluster adalah terkawal dan semua kes sudah pun menerima rawatan selain di Rumah Awam Kos Rendah Pelagat 3, Besut, Terengganu; Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang dan Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN