NIBONG TEBAL: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu krisis bekalan air membelenggu lebih 200 penduduk di Taman Seri Putera sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, antara langkah diambil termasuk memasang perakam tekanan digital di saluran paip air utama ke kawasan perumahan berkenaan untuk mengukur dan memantau tekanan bekalan air dengan tepat.
Menurut beliau, pemeriksaan juga dibuat bagi mengenal pasti jika terdapat kemungkinan kebocoran air bawah tanah, kerosakan injap atau ‘kunci angin’ di saluran paip di situ atau kawasan berdekatan.
Katanya, penggunaan air di kawasan perumahan itu akan dipantau untuk mengesahkan tiada kejadian kecurian air atau penggunaan air yang tinggi di mana-mana premis.
“Kakitangan perkhidmatan pelanggan PBAPP juga akan menghubungi seramai mungkin penduduk yang terjejas secara langsung untuk merekod serta mengesahkan aduan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Krisis air yang tidak menentu di kawasan itu sejak lebih tiga tahun lalu pernah dilaporkan Utusan Malaysia beberapa bulan lalu sebelum laporan susulan dibuat sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini.
Susulan terlalu kecewa dengan masalah itu, ada penduduk yang berhasrat menjual kediaman mereka yang mula diduduki tujuh tahun lalu.
Dalam pada itu, Jaseni memberitahu, Jabatan Operasi PBAPP akan melaksanakan beberapa penyelesaian jangka pendek terhadap penduduk antaranya menghubungkan paip-paip ‘mati’ dalam sistem retikulasi di lokasi-lokasi tertentu dan mengkonfigurasikan semula rangkaian bekalan air sedia ada .
“Selain itu, PBAPP juga akan mengesan dan membaiki semua saluran paip bocor di kawasan perumahan dan kawasan berhampiran dalam masa sesingkat mungkin untuk mengekalkan tekanan agihan air yang baik setiap masa.
“Kita juga akan menghantar lori tangki air untuk membekalkan air kepada penduduk terlibat ketika perakam tekanan PBAPP mengesan sebarang gangguan bekalan air melebihi 24 jam,” ujarnya. – UTUSAN










