Kematian 500 ekor ayam jadi penguat semangat - Utusan Malaysia

Kematian 500 ekor ayam jadi penguat semangat

BORHANUDDIN Samsudin (kanan) menerima kunjungan Pengurus Felda Lok Heng Timur, Mohd. Aswat Othman yang melihat perkembangan projek ternakan ayam kampung di Felda Lok Heng Timur di Kota Tinggi, Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kegagalan pertama yang menyebabkan hampir 500 ekor ayam kampung diternak mati tidak mematahkan semangat seorang pemuda di Felda Lok Heng Timur, di sini untuk terus berusaha dalam bidang itu.

Borhanuddin Samsudin, 29, berkata, dia mula serius dengan ternakan ayam selepas tidak lagi bekerja sebagai penyelia tapak di projek pembangunan di Pengerang, di sini.

“Saya juga berhenti kerja sebab nak jaga mak dan ayah di kampung. Saya tolong mereka uruskan kebun sebelum ambil keputusan  menjalankan projek penternakan ayam kampung.

“Saya ingat lagi semasa mula-mula ternak ayam bermodalkan RM10,000, saya usahakan 500 ekor ayam tetapi hampir semuanya mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Borhanuddin berkata, selepas dapat mengenal pasti punca penyebab kematian ayamnya, dia kemudian bangkit dan mempertaruh 500 ekor ayam lagi untuk diternak.

Jelasnya, kini jumlah ayam kampung yang diternak bersama adiknya, Mohd. Norain, 24,  bertambah kepada 1,000 ekor.

“Alhamdulillah, hasil ilmu yang ada, kini ayam kampung kami mendapat permintaan daripada pembekal di Negeri Sembilan untuk dijadikan produk ayam sejuk beku dan ayam salai.

“Ini juga adalah hasil bantuan pengurusan Felda yang banyak menyokong usaha saya. Jika sebelum ini saya ternak di belakang rumah tetapi kini saya buat di tanah milik agensi itu yang lebih luas dan selesa,” katanya yang bertekad mahu mengajak belia Felda itu bersama-sama menyertai perusahaannya.

Sementara itu, Pengurus Felda Lok Heng Timur, Mohd. Aswat Othman berkata, pengurusan sentiasa menggalakkan golongan belia yang mahu berjaya dalam bidang keusahawanan melalui bantuan geran daripada Felda.

“Kita membantu mereka melalui dana-dana yang boleh dimohon kepada Felda antaranya bantuan geran melalui Projek Pembangunan Peneroka (PPP) untuk mengembangkan lagi perusahaan masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN