JAKARTA: Indonesia akan menukar sebuah kemudahan perubatan di Pulau Galang yang kini tidak berpenghuni untuk merawat kira-kira 2,000 penduduk Gaza yang cedera, sebelum mereka dihantar pulang selepas sembuh.
Indonesia menjadi antara negara yang tidak putus-putus menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas Israel melancarkan serangan ketenteraan pada Oktober 2023.
“Indonesia akan memberikan bantuan perubatan kepada 2,000 penduduk Gaza yang menjadi mangsa perang dengan menggunakan kemudahan perubatan di Pulau Galang, terletak berhampiran Pulau Sumatera dan di selatan Singapura.
“Kesemua pesakit dari Gaza itu akan dihantar semula ke wilayah berkenaan selepas mereka sembuh,” kata jurucakap Presiden, Hasan Nasbi kepada media.
Namun, Hasan tidak memberikan garis masa atau butiran lanjut mengenai operasi tersebut.
Rancangan ini diumumkan beberapa bulan selepas tawaran Presiden Prabowo Subianto untuk menempatkan sementara rakyat Palestin yang cedera menerima kritikan daripada ulama tertinggi Indonesia kerana seolah-olah menyokong cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk memindahkan rakyat Palestin secara kekal dari Gaza.
Hospital di Pulau Galang itu pada asalnya dibuka pada tahun 2020 bagi menangani pandemik Covid-19.
Sebelum itu, sehingga tahun 1996, pulau ini pernah menjadi tapak kem pelarian menempatkan 250,000 pelarian Perang Vietnam.










