Inisiatif RISDA bantu PICK - Utusan Malaysia

Inisiatif RISDA bantu PICK

Kakitangan RISDA dan Pejabat Kesihatan Daerah membantu seorang warga emas untuk diberikan suntikan vaksin Covid-19 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, semalam. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Menyedari terdapat kesukaran dalam kalangan penduduk di pedalaman untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengambil inisiatif dengan mengadakan Program  Vaksinasi Bergerak.

Menerusinya, RISDA dengan kerjasama Unit Mobile Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menggerakkan setiap aset dan kakitangannya untuk ‘turun padang’ dari rumah ke rumah bagi pemberian vaksin terutama kepada penduduk dalam  kalangan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan individu terlantar.

MOHD. SALIM MOHD. SHARIF

Pengerusi RISDA, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, inisiatif itu, merupakan sumbangan yang boleh diberikan dan  tidak hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk negara mencapai sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Bagi yang tiada telefon pintar dan aplikasi MySejahtera, kita juga akan daftarkan untuk mereka.

“Selain itu, RISDA juga akan menggunakan segala asetnya termasuk kenderaan untuk membawa warga emas yang tidak  berkemampuan dan tidak mempunyai pengangkutan untuk ke PPV yang telah ditetapkan termasuk PPV yang kita  sediakan menerusi program ‘outreach’ (bantuan) RISDA ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata demikian kepada pemberita pada Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Luar  Bandar/Pedalaman Bersama Unit Mobile PKD Parlimen Jempol di Kampung Lonek, di sini.

Tambah Mohd. Salim, RISDA selaku agensi yang menjaga kebajikan lebih 500,000 pekebun kecil seluruh negara juga sudah tentu akan memberikan keutamaan kepada kumpulan pekebun kecil terutama warga emas untuk mendapatkan  vaksin Covid-19 secepat mungkin.

“Sebahagian besar komuniti pekebun kecil terdiri daripada golongan yang berumur 50 tahun ke atas maka RISDA perlu memastikan pekebun kecil menerima imunisasi ini secepat mungkin agar kesejahteraan dan aktiviti pertanian mereka  tidak terjejas.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini turut memudahkan anak–anak atau ahli keluarga agar tidak perlu beramai–ramai hadir ke  PPV untuk membawa ibu bapa masing-masing.

Usaha ini kelihatan lebih selamat dan meyakinkan di mana risiko jangkitan Covid–19 dapat dikurangkan dan pekebun kecil  hanya perlu berada di rumah,” kata beliau lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN