PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diganti timbalannya, Datuk Kamarudin Jaafar dalam Mesyuarat Khas Menteri Asean-China di Chongqing esok.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, sesi lawatan kerja rasmi menteri berkenaan ke Mesir, Kuwait dan Qatar yang dijadualkan selepas program mesyuarat tersebut juga ditunda.
“Dengan perasaan penuh dukacita, Kementerian Luar ingin mengemas kini makluman awal bahawa Menteri Luar tidak dapat hadir dirinya ke Chongqing, Kaherah, Kuwait City dan Doha.
“Ia susulan sebagai mematuhi peraturan kesihatan dan prosedur operasi standard bahawa beliau ada sejarah kontak rapat kepada individu kes Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.
Kementerian Luar menambah, individu berkenaan dikenal pasti oleh pihak Kementerian Kesihatan sebagai didapati positif setelah menjalani ujian PCR untuk pengesanan wabak tersebut.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, dua kali ujian PCR dilakukan Hishammuddin negatif, namun beliau kena meneruskan kuarantin wajib.- UTUSAN










