GUA MUSANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim menjadi bekas pesakit Covid-19 pertama di negara ini yang mengabadikan pengalaman peribadi dijangkiti pandemik tersebut dalam buku bertajuk ‘Daku YB Covid-19’.
Inisiatif Mohd. Syahbuddin menulis buku tersebut bukan sekadar untuk berkongsi pengalaman, sebaliknya diharap memberi iktibar dan menyedarkan masyarakat bahawa Covid-19 bukan sandiwara sebaliknya benar-benar wujud.
Kata beliau, buku setebal 121 muka surat diterbitkan JT Books PLT menjadi lebih bermakna apabila turut memuatkan kata pengantar nukilan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
“Buku ini ditulis untuk membawa minda pembaca berfikir sambil meresapi makna tabah dan reda. Sebagai insan kita perlu tunduk merendah kepada takdir tetapi tidak seharusnya lemah dan mengalah saat disapa Covid-19, selain terus berikhtiar kepada Allah.
“Semoga usaha saya berupaya menitipkan renungan takwa buat semua dalam mencari hikmah di sebalik ujian Covid-19 yang menggoncang dunia ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Syahbuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) berkata, Daku YB Covid-19 sudah mula berada di pasaran dan dijual pada harga RM15 senaskah.
Katanya, hasil jualan buku itu akan disalurkan kepada Peka GM selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk dimanfaatkan bagi membantu golongan memerlukan di daerah ini.
“Buat masa ini, cetakan pertama sebanyak 1, 000 naskah sudah mula dijual dan pihak yang berminat mendapatkan buku berkonsepkan pembacaan santai ini boleh membelinya menerusi platform e-dagang Shopee,” katanya. – UTUSAN OLINE










