DUN boleh bersidang - Utusan Malaysia

DUN boleh bersidang

ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang mengikut kaedah dan pelaksanaan beberapa negara yang berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata, Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif serta kehakiman bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertangungjawab kepada rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Raja-Raja Pemerintah menyokong pendirian Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar Parlimen bersidang dengan segera.

“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Pemerintah mengimbangi pelbagai tuntutan demi menjamin keadilan dan menghindarkan kemungkinan atau sebarang tanggapan berlaku penyalahgunaan kuasa.

“Raja-Raja Melayu menegaskan turut pentingnya Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemah melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang,” katanya di sini semalam.

Seramai lapan Raja-Raja Melayu berangkat ke Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam pada itu, Syed Danial berkata, Raja-Raja di setiap negeri turut menerima menghadap pelbagai pihak yang menyembah kebimbangan terhadap keadaan negara ketika ini.

“Mereka turut menyembah pelbagai cadangan memohon kebijaksanaan Raja-Raja Pemerintah membantu merangka penyelesaian untuk meringankan kesusahan hidup rakyat ketika ini.

“Dalam perjumpaan dengan Seri Paduka Baginda, Raja-Raja Pemerintah telah menzahirkan pendapat secara terbuka agar dijadikan panduan Al-Sultan Abdullah membantu membuat ketetapan secara bijaksana,”jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN