PUTRAJAYA: Lebih 80 peratus penularan kes Covid-19 di negara ini dalam tempoh sebulan sejak Mei lalu melibatkan jangkitan sporadik yang sehingga kini tidak dapat dikesan puncanya.
Malah, jangkitan kes positif sepanjang bulan itu adalah paling teruk dengan kes tertinggi berjumlah 9,020 kes pada 29 Mei lalu sekali gus mengundang kebimbangan ramai.
Dalam tempoh 1 Mei hingga 31 Mei, kes positif merekodkan sebanyak 191,915 kes dan ini bermakna sejumlah 153,352 kes atau kira-kira 80 peratus daripadanya adalah kes sporadik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sejak awal bulan lalu, jumlah kes sporadik dalam lingkungan 81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes (julat 70 peratus hingga 87 peratus).
Katanya, terdapat kes yang mana individu yang dikesan positif Covid-19 tidak memberi maklumat yang tepat pada peringkat awal, sehinggalah siasatan lanjut dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati beberapa kes berlaku di lokaliti yang sama.
Jumlah itu meningkat berbanding Mac lalu apabila mencatat kira-kira 66 peratus kes sporadik dalam dua minggu terakhir iaitu 13,185 kes daripada jumlah keseluruhan kes yang diambil dari 8 hingga 21 Mac.
Kes sporadik berlaku apabila seseorang itu tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak ada berhubung dengan kontak rapat Covid-19 tetapi disahkan positif.
Ini boleh berlaku dalam kalangan ahli keluarga, jemaah surau atau di kawasan orang ramai yang sesak dan sempit.
“Justeru, masyarakat perlu mengelak tempat-tempat berisiko kerana kes sporadik kini mencatatkan kes tinggi berbanding tahun lalu yang hanya banyak dicatatkan dari kes bukan warganegara,” katanya di sini, semalam.
Menurut Dr. Adham, bagi setiap kes yang dilaporkan termasuk kes sporadik, siasatan akan dijalankan oleh pasukan kesihatan bagi mengenal pasti punca mendapat jangkitan, kaitan epidemiologi (memeriksa taburan siapa, bila dan di mana) dengan kes positif lain, mengesan kontak rapat kepada kes positif tersebut dan lain-lain langkah pencegahan dan kawalan.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati kes ini mempunyai kaitan epidemiologi dengan kes positif lain, kes ini akan bertukar kepada kes dalam kluster,” ujarnya.
Maka, beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengenai pendedahan kes dan kaitan epidemiologi di antara kes-kes tersebut.
“Terdapat kes sporadik yang bertukar status menjadi kes dalam kluster berdasarkan hasil siasatan lanjut yang mendapati terdapat kaitan epidemiologi.
“Maklumat yang betul dan tepat adalah penting bagi pasukan kesihatan membuat siasatan dan menjalankan tindakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi mencegah berlakunya penularan jangkitan. Maklumat yang cepat atau awal juga amat penting bagi tindakan kesihatan awam dapat dijalankan dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Adham berkata, kes positif Covid-19 yang dikesan termasuk daripada fasiliti kesihatan swasta wajib dinotifikasikan di bawah seksyen 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Bagi tahun 2020 hingga 1 Jun lalu, beliau berkata, sebanyak 47.9 peratus ujian pengesanan Covid-19 Tindak balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dijalankan makmal swasta, manakala sebanyak 66.7 peratus ujian RTK-Ag dijalankan kemudahan kesihatan swasta termasuk pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan makmal swasta.
Menurut beliau, seseorang pegawai itu perlu dilantik dan diberi kuasa di bawah Akta 342 untuk membolehkan mereka membuat aktiviti penguatkuasaan termasuk memakaikan gelang tangan pengawasan dan mengeluarkan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
Bagaimanapun, kata beliau, kuasa di bawah Akta 342 itu dihadkan kepada pengkhidmat kerajaan.
Namun, beliau menjelaskan, bagi pengamal perubatan swasta, kuasa memakaikan gelang tangan pengawasan dan mengeluarkan HSO boleh diberi di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan perlu memohon melalui Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk diproses bagi diwartakan.
“Sekiranya pengamal perubatan swasta tidak atau belum dilantik, maka mana-mana kes positif Covid-19 hendaklah dilaporkan atau dinotifikasi kepada PKD berhampiran untuk siasatan, pengesanan kontak, isolasi kes positif, kuarantin kontak rapat kepada kes positif tersebut.
“Kes positif juga boleh dirujuk ke Covid-19 Assesment Centre (CAC) untuk pemeriksaan dan penilaian status kesihatan mereka. Kes positif kategori 1 dan 2 boleh diasingkan dan dipantau di tempat kediaman sekiranya setelah penilaian dibuat dan didapati adalah stabil dan mempunyai kediaman yang sesuai untuk pengasingan,” katanya.
Adham berkata, kes positif ini akan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan dipakaikan gelang tangan pengawasan.
Jelasnya, kes tersebut hendaklah memantau status kesihatan kendiri setiap hari menggunakan Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. – UTUSAN










