Bantu rakyat - Utusan Malaysia

Bantu rakyat

GOLONGAN B40 beratur mendapatkan barangan keperluan asas dalam Program Infak Kasih anjuran Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat mele­takkan harapan tinggi pada pakej ban­tuan ekonomi yang bakal diumumkan kerajaan supaya da­­­pat memberi kelegaan kepada mereka.

Ini kerana, pelbagai pakej rang­sangan fiskal sebelum ini dilihat tidak banyak mengubah kehidupan mereka yang terjejas teruk sebelum ini, ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Ka­walan Pergerakan (PKP) 3.0.

Malah, semakin ramai tertekan apabila total lockdown yang dilaksanakan awal bulan ini dijangka mungkin dilanjut menyebabkan banyak sektor ekonomi masih tidak bo­leh dibuka atau tidak dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

Menurut pakar ekonomi, di se­balik bantuan sedia ada, pelbagai bentuk moratorium atau bantuan boleh dilaksanakan ke­rajaan untuk membantu rakyat terjejas.

Antaranya:
1. Bank melanjutkan moratorium pinjaman.
2. Syarikat utiliti memberi mo­ra­torium atau diskaun ke atas bil utiliti air, elektrik dan internet.
3. Pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi moratorium ke atas cukai pintu dan cukai taksiran tapak perniagaan.
4. Pemilik bangunan memberi moratorium sewa rumah, se­wa bangunan, sewa tapak perniagaan dan pemilik bangunan mendapat pelepasan cukai.

Malah, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berharap, moratorium enam bulan diberikan secara automatik kepada peminjam yang pernah memohon kepada bank untuk mendapatkan moratorium tambahan sebelum ini dan juga mereka yang memohon penstrukturan pinjaman.

“Selain itu, permohonan baharu boleh dipertimbangkan. Un­­­tuk i-Sinar 2.0, saya ber­harap jika kerajaan benarkan rak­yat keluarkan duit daripada Kum­pulan Wang Simpanan Pe­kerja (KWSP), kerajaan kena ber­janji untuk ma­sukkan balik duit ke dalam akaun caruman ter­sebut apabila ekonomi telah pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ahmed Razman turut mencadangkan, selain Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berbentuk tunai, kerajaan boleh memberi baucar makanan dan keperluan asas kepada golongan B40 dan M40.

“Syarikat-syarikat yang menerima baucar ini boleh me­nebus kembali apabila mereka membayar cukai syarikat. Semua inisiatif ini tidak memerlukan kerajaan menambah hutang,” kata beliau.

Kelmarin, akhbar melaporkan, kerajaan dijangka mengumumkan satu lagi pakej bantuan ekonomi dalam masa terdekat.

Laporan tersebut memetik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif terbaharu itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani kesan pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada banyak pihak.

Kerajaan pada 31 Mei lalu mengumumkan pelaksa­naan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) bernilai RM40 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara. Ia membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman menjangkakan pakej ekonomi yang akan diumumkan lebih menyeluruh berbanding PEMERKASA Plus dan menjurus kepada bantuan yang lebih lama merangkumi sekurang-kurangnya tiga bulan.

Ini kerana, katanya, masih wujud ketidaktentuan untuk peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 seperti dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) disebabkan kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi melebihi 4,000 kes sehari dan kadar vaksinasi dua dos yang masih perlahan.

“Oleh itu, dijangka pakej ekonomi terkini akan bersifat jangka masa sederhana dan memfokuskan kepada sektor ekonomi yang amat tenat se­perti hospitaliti dan pelancongan, pengangkutan, hiburan, peruncitan dan perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pakej yang diumum harus mampu memberi bantuan yang memberi impak tinggi kepada golongan rentan dan yang terjejas.

“Ini untuk memastikan tahun ini negara kita masih mampu mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif memandangkan Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini hanya 4.5 peratus,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN