Aset kerajaan dikerah tingkatkan pendaftaran vaksinasi - Utusan Malaysia

Aset kerajaan dikerah tingkatkan pendaftaran vaksinasi

KERAJAAN akan menggerakkan asetnya untuk membantu meningkatkan pendaftaran pengambilan vaksin terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri me­­ngarahkan semua aset kerajaan dikerah bagi meningkatkan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sangat rendah ketika ini.

Ini berikutan hanya 51 peratus atau 13 juta daripada populasi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas mendaftar di bawah program berkenaan daripada jumlah keseluruhan yang layak menerima vaksin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ber­kata, kerajaan akan memastikan proses pendaftaran pe­nerimaan vaksin Covid-19 di­permudahkan termasuk meminta Jawatan­kuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) menilai cadangan me­laksanakan proses pendaftaran secara automatik.

“Saya mendengar keluhan da­ripada penduduk di luar ban­dar, kampung-kampung dan pe­dalaman terutamanya warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin.

“Saya telah mengarahkan se­mua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan me­reka mendapat vaksin,” katanya dalam kenyataan berhu­bung perkembangan PICK, se­malam.

Menurut Muhyiddin, kerajaan turut melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada pendu­duk kampung,

Orang Asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.

Setakat 3 Jun lalu, sembilan negeri mengaktifkan unit vaksinasi bergerak antaranya di daerah Tenom dan Kinabatangan, Sabah; daerah Gua Musang dan Pasir Puteh, Kelantan dan da­erah Hilir Perak serta Kuala Kangsar, Perak.

Di Pulau Pinang pula, kata beliau, kerajaan telah memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di lapan rumah jagaan orang tua setiap hari, manakala di Selangor, setiap daerah mempunyai unit vaksinasi bergerak sendiri.

“Kerajaan juga membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus bagi golongan OKU se­perti di Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfields bagi OKU penglihatan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan turut memperkenalkan Trak Vaksin Bergerak dengan sasaran memberi vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di kawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat dan Pusat Transit Gelandangan.

Peningkatan kapasiti itu, kata beliau, diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk, sete­rusnya mempercepatkan usaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Saya ambil maklum, keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin masing-masing.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia agar tampil ke hadapan sebagai sukarelawan membantu melancarkan pro­ses pemberian vaksin.

Kata beliau, golongan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.

Perdana Menteri berkata, penglibatan dan sokongan semua pihak amat diperlukan untuk mencapai 80 peratus yang disasarkan untuk membentuk imuniti berkelompok.

“Bagi yang telah menerima suntikan vaksin, jangan pula ambil mudah terhadap pemakaian pelitup muka dan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19.

“Bersamalah kita memainkan peranan sebagai barisan hadapan untuk keluarga dan juga komuniti kita. Jangan sesekali kita leka dalam pe­perangan menentang Covid-19 ini. Ayuh rakyat Malaysia, kita jayakan PICK ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×