KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus responsif bagi menyelaraskan segala bentuk pengurusan bencana dengan lebih baik dan bersepadu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, berbekalkan jumlah anggota yang ramai diharap dapat membantu menyelaraskan pengurusan bencana.
Katanya, walaupun berkemungkinan adanya kekurangan dahulu, namun hari ini ia diletakkan di bawah kementerian dari sudut pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Sekiranya kita lihat tempat yang mempunyai jangkitan tertinggi Covid-19 adalah sektor perkilangan, tetapi masih ada yang membuka kilang tanpa mengikut SOP.
“Di sinilah kita mahu satu punca kuasa bagi mereka ini taat dalam mengimbangkan nyawa dan kehidupan.
“Oleh itu, segala bentuk yang boleh ditambah baik akan diambil walaupun ia melibatkan punca kuasa tertentu,” katanya ketika ditemui di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan di perumahan berkenaan yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 Jun hingga 1 Julai ini
Menurut beliau, kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), kaedah memudahcarakan dan tidak mahu melebihkan kaedah memberi bebanan kepada rakyat.
“Nasihat kepada semua rakyat malaysia, patuhlah pada SOP walaupun tidak bergejala. Setiap rakyat perlu bertanggungjawab lindungi diri untuk melindungi kita semua,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lawatan yang dilaksanakan adalah perkara biasa dalam memastikan kepatuhan SOP mencukupi.
“Bukan sahaja pada anggota yang memantau, tetapi juga pada orang yang dipantau.
“Inilah yang kita panggil semangat kita jaga kita, lindungi diri lindungi kita semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE