PETALING JAYA: Kes positif Covid-19 yang dijangka mencecah angka 8,000 sehari pada Jun ini memerlukan kerajaan mengambil langkah drastik supaya ia tidak menjadi bencana kepada negara.
Selain mengetatkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP), kerajaan perlu menimbang untuk menutup aktiviti ekonomi terutama sektor yang boleh memudaratkan.
Kebimbangan itu wujud berikutan graf yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan beberapa hari lalu menggambarkan aliran kes mereka yang dijangkiti virus berkenaan mengunjurkan kepada peningkatan lebih 8,000 kes bermula 13 Mei lalu hingga 6 Jun ini.
Kementerian itu turut menekankan risiko kadar kebolehjangkitan tersebut pada jangkaan mengikut kes harian meningkat kepada 1.14 Ro/Rt.
Selain menutup sektor ekonomi, pakar juga mencadangkan kerajaan meminimumkan aktiviti perniagaan terutama membabitkan sektor pengilangan dan pembinaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, mengikut kadar keberjangkitan dan kemunculan varian-varian baharu yang agak agresif, kerajaan wajar memperketatkan SOP selain menutup atau meminimumkan aktiviti ekonomi tertentu.
Katanya, sektor pembinaan dan pengilangan terutamanya perlu ditutup buat sementara waktu demi memastikan tiada jangkitan berlaku secara sporadik.
“Ini kerana kedua-dua sektor tersebut telah pun menunjukkan jumlah kes penularan yang tinggi di negara ini.
“Malah, kerajaan hanya perlu membenarkan sektor ekonomi yang berkepentingan tinggi dan mempunyai hubung kait langsung dengan kelangsungan kehidupan seperti makanan, kesihatan, perbankan, makanan dan pertanian sahaja dibenarkan beroperasi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Baharom, jika perlu kerajaan harus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) walaupun ada sesetengah kilang yang tidak begitu kritikal.
“Kilang-kilang yang tidak begitu kritikal juga perlu ditutup buat sementara waktu.
“Biarlah mudarat jangka pendek daripada memudaratkan untuk tempoh yang lama. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang juga perlu khasnya pemakaian pelitup muka dan mengekang perkumpulan sosial juga harus lebih agresif.
“Jika dilihat dengan SOP sekarang, masih ada masyarakat yang hanya ambil mudah kerana bagi mereka ia tidak terlalu ketat atau mereka sudah muak,” katanya.
Tambah beliau, moratorium bersasar juga perlu diperkenalkan kembali bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
Setakat semalam, sebanyak 4,446 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara manakala Selangor terus kekal menjadi penyumbang terbesar 1,650 kes. – UTUSAN











