Wafer emas Makmur Gold solidariti untuk Palestin - Utusan Malaysia

Wafer emas Makmur Gold solidariti untuk Palestin

HISHAMMUDDIN Abdullah (duduk) menunjukkan wafer emas edisi khas 'Untukmu Palestin' di Wisma Makmur Gold di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur) melancarkan wafer emas edisi khas ‘Untukmu Palestin’ sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis.

Wafer edisi terhad seberat satu gram itu dikeluarkan sebanyak 5,000 unit bagi edisi pertama dan semua keuntungan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care melalui Makmur Care untuk diagihkan kepada NGO berdaftar di Palestin.

Pengerusi Ko-Makmur, Hishammuddin Abdullah berkata, wafer emas itu boleh dibeli oleh ahli Ko-Makmur dan pelanggan bermula esok di semua cawangan Makmur Gold seluruh negara.

“Ia sebagai dedikasi kami (warga Ko-Makmur) yang sentiasa bersama (menyokong) rakyat Palestin dalam usaha membebaskan negara mereka daripada kekejaman rejim Zionis Israel.

“Makmur Gold tidak mengambil keuntungan dalam penjualan wafer ini kerana kita bersetuju bahawa 100 peratus hasil jualan disalurkan kepada Muslim Care dengan kerjasama Makmur Care untuk diserahkan kepada NGO (berdaftar) di sana (Palestin),” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran wafer emas itu di Wisma Makmur Gold, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd. Faizuddin Che Mahmood dan Setiausaha Ko-Makmur, Khairul Azam Awang.

Mengulas harga wafer emas itu, Hishammuddin berkata, setiap unit dijual pada harga RM330 dan pihaknya menyasarkan dapat menjual semua wafer emas edisi khas tersebut dalam masa kira-kira seminggu.

Ketika ditanya tentang kemungkinan mengeluarkan wafer emas sama bagi edisi kedua, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian dan bergantung kepada permintaan serta sambutan daripada ahli dan pelanggan mereka.

“Buat masa ini kita tumpukan kepada penjualan 5,000 unit bagi edisi pertama terlebih dahulu. Jika sambutan diterima daripada ahli dan orang ramai sangat baik, kita boleh pertimbangkan untuk memperkenalkan (wafer emas) edisi kedua,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama baik sedia terjalin antara Makmur Care dan Muslim Care dalam pelbagai program sebelum ini membuka ruang untuk mereka meneruskan jalinan kerjasama itu bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Sebelum ini kita sudah bekerjasama dengan Muslim Care, banyak program kita anjurkan secara bersama sepanjang bulan Ramadan dan bantuan lain. Jadi, dari situ kita fikir untuk meneruskan (kerjasama) dengan projek ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya