Vaksin Covid-19: Ulama sepakat - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19: Ulama sepakat

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Fatwa supaya umat Islam mengambil vaksin Covid-19 dibuat secara teliti berdasarkan kepentingan menjaga nyawa dan kepentingan masyarakat melalui kaedah fiqah selepas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam menganalisa dan mengambil kira setiap data yang dikumpulkan.

Sebelum fatwa itu diputuskan, jawatankuasa berkenaan telah bersidang sebanyak 11 kali – yang terbanyak dalam sejarahnya sebelum menemukan jawapan tuntas memastikan
pengambilan vaksin untuk mengekang jangkitan pandemik Covid-19.

Terpanggil mengingatkan per kara itu kepada kumpulan antivaksin menerusi Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
berkata, data dikumpulkan majlis itu bukan semata-mata bersandarkan kepada pandangan badan-badan berautoriti tentang kefatwaan atau para ulama, tetapi juga berdasarkan
kepada kesan buruk virus itu terhadap masayarakat dan negara.

Bahkan, keputusan fatwa tentang pengambilan vaksin tersebut juga mengambil kira kesepakatan ulama seluruh dunia.

“Ini yang diambil kira sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa membuat keputusan vaksin Covid-19 harus diambil dan menjadi wajib bila ditentukan kerajaan atau ulul amri kerana masalah itu untuk maslahah umum (kepentingan umum).

“Menjaga maslahah umum penting sebagaimana dibuat dapatan kajian bahawa kesannya sudah melalui terlalu ba­nyak testimoni yang menunjukkan ada keberkesanan baik.

“Sebab itu semua lapisan masyarakat di dunia sama ada pemimpin atau rakyat, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, bahkan para ulama kebanyakannya telah mengambil vaksin atau bersetuju mengambil vaksin,” katanya di sini semalam.

Zulkifli berkata, semua pihak perlu faham koronavirus adalah satu pandemik yang memerlukan kerjasama semua pihak dan penyakit itu bukan terkena kepada seseorang sahaja.

Katanya, ini bertepatan de­ngan firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada fitnah (seksaan) yang tidak khusus me­nimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.”

Justeru, kata beliau, niat baik semua pihak termasuk kerajaan untuk menentukan satu-satu keputusan mesti mengambil kira maslahah rakyatnya dengan memegang kepada maqasid syariah menjaga nyawa melalui kaedah fiqah yang bermaksud, sebarang tindakan pemerintah terhadap rakyat mesti diikat dengan kewajaran terdapat maslahah.

“Apabila saya melihat apa yang berlaku saat mereka berebut untuk nak dapat vaksin, sewajarnya kita menempatkan diri kita juga untuk mengambil vaksin.

“Sesungguhnya niat terbaik daripada semua pihak termasuk kerajaan tatkala menentukan satu-satu keputusan mesti mengambil kira maslahah untuk rakyatnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama semua pihak sudah tentu membawa natijah baik dengan melindungi diri dan semua yang lain dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) sebagai mengambil satu ikhtiar.

Ini kerana, jelas beliau, Allah SWT menjadikan sesuatu untuk manfaat dan maslahah kepada manusia yang dikurniakan akal fikiran dan hikmah ilmu yang ada dalam menjalani sebuah kehidupan sejahtera, aman dan selamat dari penyakit dan wabak, maka sudah tentu salah satu ikhtiar dengan pengambilan vaksin.

“Kita telah jawab dalam buku berkenaan sebarang bentuk salah tanggap dan syubhah berkenaan vaksin melalui dua buku tentang hukum vaksin dan apa-apa yang menjadi kekeliruan tentang vaksin.

“Dengan kita mengambil dari buku tersebut dan kita boleh faham sebaiknya, tidak ada perkara yang kita katakan yang boleh membawa kita kepada tidak baik.

“Kita mengambil maklum khususnya warga tua yang dikatakan sebahagian mereka tidak mahu mengambil vaksin dengan pelbagai alasan. Saya yakin dengan apa yang dikemukan oleh ramai ulama dan bijak pandai, maka ayuhlah sama-sama menyahut seruan Kementerian Kesihatan untuk bervaksin, mudah-mudahan ia menambah kesihatan dan kebaikan,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, kira-kira 52,771 individu di tujuh negeri tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini walaupun diberi janji temu menerusi aplikasi MySejahtera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV klinik kesihatan berdekatan tempat tinggal mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×