UMNO perlu pasukan sebenar, bukan mewakili 'kluster'

UMNO perlu pasukan sebenar, bukan mewakili ‘kluster’

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO perlu memiliki sebuah pasukan yang sebenar dan bukannya mewakili segala kluster dalam parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jika ingin berkuasa semula, parti terbesar orang Melayu itu mesti kembali berpadu dan tidak berpecah-belah bagi menyakinkan rakyat dan pengundi.

“Memikirkan nasib UMNO, saya sangat risau (kerana) ramai yang terlalu memikirkan diri sendiri dan bukan parti, apatah lagi bangsa Melayu, Islam dan Malaysia. Jika ingin berkuasa semula mesti kembali berpadu, segala elemen ‘kepuakan’ atau kecenderungan kepada tokoh atau kumpulan tertentu tidak akan menguatkan parti. 

“Pada 2018, UMNO menghadapi pilihan raya dengan perpaduan yang kukuh, UMNO juga pada waktu itu menguasai kerajaan namun kita tewas jua. 

“Waktu ini kita tidak menguasai kerajaan, parti pula tidak berada dalam kedudukan yang kukuh. Jika kita tidak bersatu, maka kita pasti tidak boleh menang PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-75 penubuhan UMNO, hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu mengakui, usaha memenangi hati dan keyakinan pengundi bukan kerja yang mudah kerana mereka mempunyai naluri, kepentingan dan pemikiran yang sangat kompleks.

Jelasnya, parti yang berpecah, bercakaran semasa sendiri dan tidak berpadu akan mematikan keyakinan pengundi terhadap parti tersebut.

“Kita mesti sedar, zaman telah berubah. Salah satu sebab kenapa Pakatan Harapan (PH) berjaya ditumbangkan ialah bila parti utama yang membentuk PH iaitu PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpecah. 

“Kerana perpecahanlah, sebuah kerajaan yang dibentuk dengan mandat kukuh dari rakyat boleh ditumbangkan. Perpecahan dalaman itu adalah laksana barah yang akhirnya mematikan UMNO dan segala segmen di dalamnya mesti kembali bertaut,” ujarnya. 

Justeru, Mohamed Khaled menyeru semua kepemimpinan tertinggi sehingga pendukung di lapangan supaya berpadu demi parti yang diperjuangkan selama ini.

“Berlapang dada dan bertolak ansur serta bersatulah dalam kita mengemudi perjalanan sukar parti kita. 

“Akhirnya cita-cita kita adalah untuk UMNO itu kembali mengemudi tanah air ini demi sumpah kita untuk perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN