SEREMBAN: Tiada berlaku sebarang peningkatan aliran trafik di Negeri Sembilan menjelang sambutan hari raya Aidilfitri minggu depan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, jumlah kenderaan yang keluar masuk di negeri ini seperti kebiasaan dengan kesemuanya atas urusan ekonomi dan pekerjaan.
“Buat masa ini, kebanyakan aliran trafik di Seremban dan Nilai ke Kuala Lumpur serta sebaliknya adalah atas sektor ekonomi serta bekerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, sebanyak sembilan lagi sekatan jalan raya (SJR) ditambah melibatkan kawasan bersempadan dengan negeri ini
Ujar beliau, buat masa ini terdapat 15 SJR sedia ada yang beroperasi di beberapa daerah terutama di Seremban susulan daerah ini masih lagi berada dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Penambahan berkenaan menjadikan sebanyak 24 SJR dilaksanakan di negeri ini bermula esok.
“Semua jalan utama bersempadan dengan negeri Pahang, Selangor dan Melaka akan ada SJR. SJR di sempadan daerah juga diaktifkan kembali.
“Jangan cuba-cuba merentas sempadan daerah atau negeri tanpa surat kebenaran polis kerana cubaan ini bakal dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Sementara itu, katanya, buat masa ini tiada kenderaan yang diarahkan berpatah balik dan pihaknya berharap agar orang ramai dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – UTUSAN ONLINE










