Tiada lebuh raya sesak luar biasa - Polis - Utusan Malaysia

Tiada lebuh raya sesak luar biasa – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis nafi berlaku  kesesakan luar biasa di beberapa lebuh raya seperti yang tular di laman sosial dengan dakwaan berpunca daripada aktiviti balik kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Pengarah JSPT, Bukit Aman, Datuk Mohd. Nazri Hussain berkata, dalam tempoh dua hari iaitu Sabtu dan Ahad lalu, polis mengesan ada pergerakan 2.6 juta kenderaan di 30 sektor lebuh raya di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 1.4 juta kenderaan direkodkan melakukan pergerakan pada Sabtu diikuti 1.1 juta lagi kenderaan bergerak Ahad.

“Semua kenderaan yang bergerak tersebut adalah mereka yang mempunyai kelulusan dan kebenaran untuk merentas,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam

Menurut beliau, antara alasan membuat pergerakan tersebut meliputi kumpulan pasangan jarak jauh, kerja dan kecemasan selain kumpulan yang dikategorikan dalam bidang perkhidmatan perlu (essential service).

Justeru, Mohd. Nazri berkata, tiada kesesakan luar biasa seperti yang  tular kononnya kerana ramai yang pulang ke kampung untuk beraya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, aliran trafik di Lebuhraya Plus Malaysia Bhd (PLUS) juga menunjukkan penurunan ketara  apabila hanya 1.2 juta kenderaan direkodkan pada 12 Mei lalu sehingga semalam.

“Sebanyak 477,172 buah kenderaan direkodkan pada 12 Mei lalu diikuti hanya 133,606 buah kenderaan berada di lebuh raya PLUS pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan 156,603 kenderaan pada 14 Mei.

“Seterusnya, sebanyak 254,964 kenderaan direkodkan pada Sabtu  manakala 240,200 kenderaan pada Ahad,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri berkata, dengan pergerakan yang direkodkan tersebut dapat disimpulkan rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang melarang rentas negeri dan daerah.

Ini kerana, kata beliau, sebanyak 935,233 kenderaan direkodkan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbanding tahun sebelumnya sebanyak 2 juta  berada di seluruh lebuh raya.

“Perbezaan sebanyak 1.1 juta kenderaan direkodkan tidak melakukan pergerakan dalam tempoh itu dan mereka yang bergerak mempunyai kelulusan rentas negeri dan daerah.

“Meskipun begitu, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh Pasukan Pemantau JSPT Bukit Aman, OP Rentas JSPT dengan menggunakan konsep serampang dua mata dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di semua kontinjen dan daerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya