PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat khusus untuk Palestin melalui tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ia diadakan serentak selepas solat Maghrib, esok.
Katanya, ia sebagai menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru umat Islam di negara ini menunaikan solat hajat bagi mendoakan umat Islam di Palestin.
“Jakim turut memanjangkan cadangan ini bagi memohon kerjasamaMajlis dan Jabatan Agama Islam Negeri seluruh Malaysia untuk sama-sama menyahut saranan bagi mengadakan solat hajat dan mendoakan Palestin menerusi masjid-masjid dan surau di seluruh Negara dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Jakin turut menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk menzahirkan solidariti terhadap Palestin dan menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh semua dalam membantu Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz pada masa sama mengharapkan agar usaha yang dilakukan itu sedikit sebanyak dapat meringankan kesengsaraan dan sebagai tanda sokongan moral buat Palestin. – UTUSAN ONLINE










