PETALING JAYA: Isu manipulasi pendaftaran mendapatkan vaksin AstraZeneca bagi rakyat Selangor dalam jumlah besar yang didakwa membabitkan pengendali Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) tidak berlaku.
Mengikut kenyataan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin menegaskan kerajaan negeri dan Pusat sedang berusaha memastikan rakyat Malaysia termasuk Selangor memperoleh suntikan vaksin.
Khairy adalah menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala Amirudin pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Selangor.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) hari ini bagi menyelesaikan kenyataan CITF yang menyalahkan aplikasi SELangkah kerana didakwa membuat pendaftaraan buat rakyat negeri itu untuk menerima vaksin AstraZeneca secara besar-besaran hingga menimbulkan kecelaruan di aplikasi MySejahtera
Selain itu, Mosti dan Kerajaan Selangor juga bersetuju untuk membuka Pusat pemberian Vaksin berskala mega di beberapa lokasi di negeri ini secara berperingkat bermula minggu kedua Jun.
“Perbincangan yang telah berjalan dalam suasana harmoni ini juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik antara pihak kerajaan negeri dan pihak CITF bagi membolehkan program imunisasi berjalan dengan lancar serta teratur, seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya. – UTUSAN