PUTRAJAYA: Satu lesen untuk satu syarikat antara empat tindakan drastik akan dikuat kuasa bagi mengekang ketirisan barangan subsidi di sempadan negara daripada terus berleluasa.
Selain itu, pihak berkuasa juga boleh menggantung dan menarik balik kuota dan lesen minyak masak ke atas syarikat yang didapati terbabit melakukan penyelewengan dan penyeludupan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, pihaknya memandang serius isu ketirisan barang bersubsidi ke luar negara, justeru, antara tindakan utama ialah mempertimbangkan untuk mengeluarkan hanya satu lesen iaitu sama ada lesen borong atau runcit kepada satu syarikat sahaja untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan.
Beliau berkata, pada masa ini setiap syarikat boleh memiliki lebih dari satu lesen menyebabkan kesukaran untuk membanteras penyalahgunaan barangan subsidi.
Menurut beliau, tindakan lain ialah menggantung dan menarik balik kuota dan lesen minyak masak ke atas syarikat yang didapati melakukan penyelewengan dan penyeludupan.
“Satu arahan akan dirangka berhubung larangan ke atas mana-mana syarikat pemborong dan pembungkus menyalurkan minyak masak dari negeri-negeri lain ke negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
“Selain itu, membuat penilaian dan penyelarasan semula ke atas jumlah kuota minyak masak oleh syarikat pembungkus yang beroperasi di negeri-negeri bersempadan negara supaya diselaraskan dengan nisbah keperluan penggunaan isi rumah dan keluasan kawasan,” katanya di sini semalam.
Sabtu lalu, laporan Utusan Malaysia mendedahkan kegiatan penyeludupan barang bersubsidi dari Malaysia ke Thailand yang tidak pernah ‘tidur’ di sepanjang Sungai Golok di negeri ini yang didakwa membantu menjana industri kecil dan sederhana (IKS) di negara jiran itu.
Sumber memberitahu, perkara itu bukan baharu tetapi diwarisi dengan barangan subsidi Malaysia tersebut dijenamakan semula sebelum dijual di merata tempat seperti Golok dan Pattani yang terletak dalam Wilayah Narathiwat.
Azman berkata, bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan bersepadu terus dilakukan bagi kawalan barangan subsidi bolos di sempadan iaitu kawalan penjualan minyak petrol dan diesel di stesen minyak berdasarkan radius 50 kilometer dari sempadan negara di sebelah utara tanah air dan 25 kilometer di selatan negara.
Bagi tujuan itu, katanya, pemantauan itu boleh dinilai melalui peti dan buku lawatan KPDNHEP yang diletakkan di 281 stesen minyak di negeri-negeri bersempadan yang dikuatkuasakan sejak awal Mac lalu sekali gus memberi impak baik kerana lawatan mengejut ke atas stesen-stesen minyak itu sukar dibaca pihak-pihak tertentu.
Beliau memberitahu, kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain terus ditingkatkan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi pengaliran keluar minyak masak bersubsidi ke negara jiran.
Dalam pada itu, Azman berkata, penguatkuasaan KPDNHEP tidak pernah ‘tidur’ dalam memerangi kegiatan penyelewengan barangan subsidi apabila merekodkan 2,256 kes berjaya dihasilkan sejak tahun 2017 hingga April lalu untuk enam jenis barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, sebanyak RM74.72 juta keseluruhan nilai rampasan berjaya diperoleh melalui rampasan diesel, petrol, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), gula dan tepung gandum dalam tempoh sama.
“Peranan KPDNHEP dalam membanteras ketirisan barang bersubsidi ke negara jiran ialah menjadikan penguatkuasaan dan pematuhan ke atas syarikat atau industri yang terlibat dengan barang kawalan sebagai sasaran utama dilaksanakan di seluruh KPDNHEP negeri dan cawangan.
“Pengauditan rantaian bekalan atau pengedaran barang bersubsidi dilaksanakan secara intensif dan komprehensif bermula pengilang, pemborong dan peruncitan,” katanya.
Beliau menambah, pengauditan berterusan dapat mengesan penyelewengan di peringkat awal, melalui deklarasi stok untuk mengesan aliran pergerakan bekalan barang bersubsidi melalui rantaian pengedaran.
Katanya, satu pasukan task force turut ditubuhkan bagi menjalankan naziran barang bersubsidi untuk meningkatkan kekerapan pengauditan terhadap rantaian pengedaran dengan memberi tumpuan di negeri bersempadan dengan negara jiran.
“Risikan ke atas pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit yang disyaki cuba untuk menyeleweng barang bersubsidi ke negara jiran dan mengadakan kerjasama dengan Aksem, JKDM, ATM dan PDRM bagi mengatasi pengaliran keluar barang bersubsidi ke negara luar,” katanya. – UTUSAN










