PETALING JAYA: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dikompaun RM10,000 selepas gagal mengarahkan penghuni dan pengunjung membuat imbasan MySejahtera atau mendaftar dalam buku pendaftaran, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kompaun dikenakan selepas JMB itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan (No 4) (Pindaan) (No 16) 2021.
“Justeru, kami menasihatkan semua pemilik premis supaya terus mematuhi SOP ditetapkan dalam memerangi wabak Covid-19.
“Menjadi tanggungjawab pemilik premis memastikan semua penghuni dan pengunjung mematuhi SOP ditetapkan ketika berada di dalam premis dan tindakan tegas akan diambil jika melanggar SOP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE










